SEREMBAN - Lelaki yang disiasat berhubung kes menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit (ADC) Raja Muda Selangor, dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dua pertuduhan menipu dengan menawarkan rumah di tanah rizab Sultan Selangor dan Rumah Selangorku, dua tahun lalu.
Majistret, Norsalihah Sulaiman menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Al Zulfadly Alias, 40, selepas dia membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan dibacakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki menyamar 'ADC Raja Muda Selangor', tunang didakwa lagi
Lelaki disiasat kes menyamar ADC Raja Muda dipenjara setahun, dua sebatan tipu selebriti
Lelaki disiasat menyamar ADC Raja Muda Selangor mengaku tipu urusan jual Lexus lelong RM40,000
Beliau mengarahkan hukuman tersebut bermula daripada tarikh sabitan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah menipu seorang lelaki berusia 26 tahun dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh menawarkan sebuah kereta Honda City milik kerajaan dan sebuah rumah di bawah rizab tanah Sultan Selangor untuk dibeli.
Perbuatan berkenaan telah mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM22,300 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan pada 6 Julai 2024 hingga 22 Mac 2025 di Bandar Enstek, Nilai.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh telah didapati menipu seorang lelaki berusia 25 tahun dengan memperdayakannya membuat pembayaran sebanyak RM5,000 untuk pembayaran deposit Rumah Selangorku yang tidak wujud yang mana mangsa telah menyerahkan wang tersebut.
Kesalahan terbabit telah dilakukan antara 8 Oktober 2024 hingga 9 Oktober 2024 di sebuah kilang di Sendayan Techvally di sini.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, J Dasene berkata, tertuduh yang merupakan seorang duda memohon hukuman penjara minimum kerana dia tidak bekerja serta perlu menanggung ibu selain mempunyai masalah kesihatan dan kewangan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri.