Dua maut nahas tiga kenderaan: 'Ayah dalam perjalanan jemput ibu berniaga di festival makanan' - Anak

Iklan
Amirul Hakim menunjukkan gambar bapanya, Jorari (gambar kecil) yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), awal pagi Isnin.

KOTA TINGGI – Perjalanan pulang selepas menjemput isteri yang berniaga di festival makanan berakhir tragedi apabila seorang sarjan polis maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 52.5 Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), awal pagi Isnin.

Anak mangsa, Amirul Hakim Jorari, 30, berkata, bapanya, Jorari Jusoh, 58, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, dalam perjalanan pulang ke Senggarang, Batu Pahat selepas mengambil ibu tirinya, Yuli Helmiyati Mohd Salleh, 51, yang berniaga di food festival berhampiran Bandar Penawar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bapanya datang ke Bandar Penawar sejak Sabtu lalu untuk menemani isterinya berniaga sebelum mereka bertolak pulang kira-kira jam 12 tengah malam.

“Masa kejadian, adik memandu kenderaan Toyota Unser manakala ayah datang ke sana memang untuk mengambil ibu. Ada seorang mak cik yang turut menaiki Proton X70 berkenaan.

Iklan

“Adik, ibu dan mak cik sudah lama berada di Bandar Penawar sejak Selasa kerana menyertai food festival itu. Mereka semua dari acara di Pahang sebelum meneruskan perniagaan di Bandar Penawar.

“Ayah pula bekerja dan hanya mempunyai cuti hujung minggu. Memang dia ke sana untuk menjemput ibu pulang ke Batu Pahat. Tak sangka pula awal pagi tadi kami dikejutkan dengan berita sedih ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini, pada Isnin.

Iklan

Suasana pilu di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi ketika waris menuntut jenazah mangsa.

Jelasnya, akibat kemalangan itu, ibu dan mak ciknya kini dirawat di zon merah Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala adiknya berada dalam keadaan selamat.

Amirul berkata, bapanya yang hanya berbaki dua tahun sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai anggota polis sudah mula merancang kehidupan selepas bersara dengan memberi tumpuan kepada perniagaan bersama isteri.

Kemalangan kira-kira jam 1.55 pagi itu turut menyebabkan pemandu pemandu Proton Persona, Nurul Syifa' Mohd Kasimi, 26, merupakan jurutera di Pengerang, di sini dan masih bujang maut di lokasi kejadian.

Bapa saudara kepada Nurul Syifa’, Khairul Effendi Hamzah, 50, berkata, anak buahnya itu difahamkan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke tempat kerjanya di Pengerang ketika kejadian.

Katanya, beliau menerima berita mengejutkan itu daripada bapa kandung mangsa kira-kira jam 3.15 pagi sebelum bergegas ke Hospital Kota Tinggi bagi menguruskan jenazah.

Sementarra itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati Proton Persona dipandu wanita terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan dua kenderaan lain.

Akibat perlanggaran itu, pemandu Proton Persona dan Proton X70 mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah Jorari dibawa pulang ke Senggarang manakala Nurul Syifa di Kampung Teras Binjai, Kota Bahru, Kelantan untuk dikebumikan.