2,000 hektar sawah KADA terbiar akan diusahakan semula

Iklan
Khalid (lima, kanan) semasa merasmikan Penyerahan Jengkaut Hidraulik Di Bawah Peruntukan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Pasir Mas. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

PASIR MAS - Kira-kira 2,000 hektar kawasan sawah di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang terbiar dikenal pasti untuk diusahakan semula bagi meningkatkan pengeluaran padi di Kelantan.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, usaha mengaktifkan semula kawasan berkenaan menjadi antara keutamaan KADA selain mengenal pasti tanah baharu yang berpotensi dibangunkan sebagai kawasan pertanian khususnya penanaman padi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, terdapat pesawah yang berjaya memperoleh hasil memberangsangkan sehingga sanggup menyewa tanah terbiar untuk diusahakan.

"Kalau kita lihat, bagi mereka yang menjalankan kerja penanaman dengan jayanya, ramai sanggup menyewa tanah.

Iklan

"Malah, ada yang mencabar pihak yang beranggapan penanaman padi tidak menguntungkan supaya memberikan tanah mereka untuk disewa," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu beliau merasmikan Penyerahan Jengkaut Hidraulik Di Bawah Peruntukan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini.

Iklan

Khalid memberitahu, usaha menghidupkan semula tanah sawah terbiar itu penting bagi memastikan pengeluaran padi dapat ditingkatkan sekali gus membantu memenuhi sasaran bekalan makanan negara.

Kata beliau lagi, KADA turut berdepan kehilangan sebahagian kawasan sawah berikutan pembangunan termasuk pembinaan rumah yang menyebabkan keluasan tanah pertanian semakin berkurangan.

Sehubungan itu, ujarnya usaha mengenal pasti kawasan baharu yang sesuai untuk dibangunkan sebagai sawah turut diberi perhatian.

Beliau memberitahu, KADA kini mempunyai kira-kira 7,450 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seliaannya.

"Pengeluaran padi semasa di kawasan KADA dianggarkan 153,000 tan setahun dengan purata hasil sekitar 4.3 tan sehektar.

"Sekiranya sasaran peningkatan hasil dan pembangunan kawasan pertanian dapat dicapai, pengeluaran berpotensi meningkat sehingga kira-kira 250,000 tan," katanya.

Menurut Khalid, peningkatan pengeluaran itu berpotensi membolehkan Kelantan menghasilkan lebihan bekalan untuk dibekalkan ke negeri lain.