Exco Kelantan bermesyuarat dalam tren ECRL

Iklan
Mohd Nassuruddin mempengerusikan mesyuarat dalam tren ECRL sempena pra-operasi perkhidmatan itu dari Tunjong ke Gombak, Selangor pada Selasa. Foto MB

KOTA BHARU - Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kelantan (Exco) mengadakan mesyuarat dalam tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sempena pra-operasi perkhidmatan itu dari Tunjong ke Gombak, Selangor pada Selasa yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Mohd Nassuruddin berkata, peluang itu membolehkan pihaknya melihat sendiri kemajuan projek ECRL yang bakal menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi, jaringan pengangkutan dan hubungan antara negeri.

Iklan
Iklan

"Satu pengalaman berbeza yang memberi ruang kepada saya bersama barisan Exco untuk meneruskan urusan pentadbiran negeri dalam suasana baru, tanpa mengenepikan perkara-perkara penting berkaitan pembangunan negeri dan kepentingan rakyat," katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook.

Exco mengadakan mesyuarat dalam tren ECRL sempena pra-operasi perkhidmatan itu dari Tunjong ke Gombak, Selangor pada Selasa yang dipengerusikan Mohd Nassuruddin. Foto MB

Iklan

Turut menyertai sesi pra-operasi berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Menurut beliau, kemudahan itu akan membuka lebih banyak peluang serta membawa manfaat besar kepada rakyat dan negeri Kelantan.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan perkhidmatan ECRL bakal menikmati diskaun sebanyak 30 peratus untuk tiket kelas ekonomi selama sebulan bermula 12 Disember ini, sempena pembukaan perkhidmatan rel berkenaan.

Turut menyertai sesi pra-operasi berkenaan adalah Darwis (kiri) memberi penerangan kepada rombongan kepimpinan Kerajaan Kelantan. Foto:MB

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, diskaun itu diberikan kepada orang ramai yang tidak menikmati kadar konsesi, manakala golongan orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan pelajar kekal menerima diskaun 50 peratus.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menikmati perkhidmatan ECRL pada kadar lebih rendah sepanjang bulan pertama operasinya.