SEREMBAN - Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan belum menerima sebarang makluman atau notis rasmi berhubung peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar negeri itu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, beliau hanya mengetahui perkara itu melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir di media sosial.
"Saya pun tahu pada malam 16 November itu melalui media sosial dan sebagainya.
"Saya juga tidak tahu mengenai pertemuan Datuk Ismail dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semalam. Saya tidak menerima apa-apa makluman mengenai perkara itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Modul Aulad Sejahtera 2026 di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan setakat ini tidak mengetahui sebarang maklumat atau perkembangan terkini berhubung kedudukan terkini Ismail sebagai Menteri Besar.
ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Lasim letak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan
BN kemuka satu nama calon MB Negeri Sembilan - Ahmad Zahid
Peletakan jawatan MB Negeri Sembilan perlu perkenan Tuanku Muhriz -Istana
Exco Negeri Sembilan umum Tuanku Muhriz diturunkan takhta, iktiraf Tuanku Nadzaruddin
Tindakan Exco Negeri Sembilan umum penurunan takhta Tuanku Muhriz perbuatan derhaka - Aminuddin
Exco Kerajaan Negeri Sembilan tidak boleh atasi UUTKNS - Undang Luak Rembau
[KRONOLOGI] Kemelut takhta Negeri Sembilan
Tambahnya, beliau juga tidak diminta menghadap Tuanku Muhriz bagi membincangkan situasi krisis yang sedang berlaku termasuklah berkenaan tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Selain itu katanya, urusan pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan kerajaan negeri berjalan seperti biasa, termasuk di jabatan-jabatan kerajaan.
"Kita tidak ada masalah dalam menjalankan tugas harian bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan tidak tergendala.
"Perjalanan fungsi Pejabat Menteri Besar juga berjalan seperti biasa," katanya.