SEREMBAN - Kepimpinan Barisan Nasional (BN) jelas terdesak apabila membuat pengumuman berkaitan peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan mendahului pengetahuan dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Negeri Sembilan, Redzuan Ahmed Abdullah berkata, tindakan tersebut memperlihatkan sikap parti itu yang semakin terdesak untuk berpolitik sepanjang masa serta tidak mempunyai hasrat sebenar untuk menyelesaikan krisis pentadbiran negeri.
"Sebaliknya, kepimpinan UMNO dan BN perlu menghentikan campur tangan dalam pergolakan kerajaan Negeri Sembilan serta menghormati proses penyelesaian yang sedang diusahakan antara kerajaan negeri dan pihak istana," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, berdasarkan perkembangan semasa, krisis pentadbiran di Negeri Sembilan sebenarnya sudah menunjukkan tanda-tanda ke arah penyelesaian.
Bagaimanapun ujarnya, ketika ruang penyelesaian hampir dicapai, kepimpinan BN bertindak secara 'unilateral' dengan membelakangi proses Istana apabila mengumumkan mengenai peletakan jawatan terbabit.
"Hanya 80 minit selepas perkenan menghadap diberikan kepada Datuk Ismail, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bertindak memuat naik kenyataan di media sosial pada jam 10 malam, 16 November untuk mengumumkan peletakan jawatan berkenaan berdasarkan salinan surat dalam milikan beliau.
"Penghantaran surat tersebut juga dibuat melalui pihak ketiga tanpa pengesahan Istana, malah dinyatakan telah dihantar ke Istana Hinggap, Seremban pada jam 12.16 pagi, 17 November iaitu lebih dua jam selepas pengumuman dibuat," katanya.
Lebih menimbulkan persoalan kata beliau, apabila pihak Istana secara rasmi memaklumkan bahawa ketulenan surat tersebut masih belum disahkan.
Selain itu tambahnya, tindakan menamakan pengganti Menteri Besar juga telah dilakukan secara tergesa-gesa sebelum proses Istana selesai.
"Walaupun ketulenan surat berkenaan belum disahkan oleh pihak Istana dan sesi menghadap Tuanku Muhriz hanya dijadualkan berlangsung pada 20 November ini, kepimpinan BN dilaporkan telah pun bertindak mengemukakan calon tunggal Menteri Besar yang baharu.
"Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan ditegaskan oleh pihak Istana, sebarang peletakan jawatan oleh Menteri Besar wajib dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa setelah mendapat perkenan baginda," katanya.
Justeru ujarnya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan BN wajib menjelaskan secara terbuka kepada rakyat sama ada surat yang diserahkan ke Istana tersebut benar-benar dibuat atas kerelaan Ismail.
Beliau berkata, tindakan terburu-buru kepimpinan UMNO dan BN pada saat krisis pentadbiran negeri mula menemui jalan penyelesaian membuktikan dua hakikat yang membimbangkan.
"Ia memperlihatkan sikap tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu serta prerogatif perlembagaan Tuanku Muhriz apabila percaturan parti didahulukan mengatasi perkenan Istana.
"Dalam masa yang sama ia dilihat sebagai keengganan kepimpinan BN untuk memberi ruang kemelut negeri pulih secara harmoni, semata-mata demi memenuhi agenda politik sempit segelintir pihak," katanya.
Sehubungan itu Redzuan berkata, Muda Negeri Sembilan menggesa semua pihak agar menghentikan segera percaturan kuasa yang berpanjangan ini supaya kerajaan Negeri Sembilan dapat kembali berfungsi sepenuhnya untuk rakyat.
"Walaupun kepimpinan BN-Perikatan Nasional sering melaungkan komitmen membela institusi Raja-Raja Melayu, tindakan mereka di Negeri Sembilan jelas bercanggah dengan retorik tersebut apabila dilihat melampaui batas serta membelakangi bidang kuasa Istana," katanya.