SEREMBAN - Susulan peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, tiga nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) disebut-sebut berpotensi mengisi jawatan berkenaan.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias antara nama yang menjadi perhatian.
Ia ditambah pula dengan kenyataan beliau sebelum ini yang mengesahkan telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bulan lalu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang itu berkata, sesi menghadap berkenaan adalah atas kapasiti beliau sebagai ketua parti di peringkat negeri dan ia tidak harus disalahertikan.
Dalam sidang media diadakan di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada Selasa susulan peletakan jawatan Ismail, beliau memberitahu penentuan calon Menteri Besar yang baharu akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Lasim letak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan
BN kemuka satu nama calon MB Negeri Sembilan - Ahmad Zahid
Peletakan jawatan MB Negeri Sembilan perlu perkenan Tuanku Muhriz -Istana
Exco Negeri Sembilan umum Tuanku Muhriz diturunkan takhta, iktiraf Tuanku Nadzaruddin
Tindakan Exco Negeri Sembilan umum penurunan takhta Tuanku Muhriz perbuatan derhaka - Aminuddin
Exco Kerajaan Negeri Sembilan tidak boleh atasi UUTKNS - Undang Luak Rembau
[KRONOLOGI] Kemelut takhta Negeri Sembilan
Selain itu, ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin turut disebut sebagai calon atas faktor hubungan baiknya dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Nama beliau bukanlah kali pertama disebut sebagai bakal Menteri Besar kerana ketika pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 pada 2023, beliau turut disebut sebagai calon Menteri Besar sekiranya BN memenangi pilihan raya berkenaan.
Bagaimanapun, peluang nama Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban itu diangkat dilihat berdepan cabaran berikutan beliau masih baharu sebagai ADUN.
Sementara itu, nama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut disebut sebagai calon berpotensi berdasarkan pengalaman luas beliau mentadbir Negeri Sembilan selama 14 tahun, bermula 2004 hingga 2018.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat yang merupakan ADUN Rantau pernah menerajui kerajaan negeri selama tiga penggal sebelum BN tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Bagaimanapun, ketiga-tiga nama berkenaan setakat ini masih menjadi spekulasi dan keputusan pelantikan Menteri Besar baharu adalah tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Terdahulu Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu mengemukakan satu nama calon bagi mengisi kekosongan Menteri Besar Negeri Sembilan susulan peletakan jawatan Ismail.
Nama tersebut telah dikemukakan kepada Tuanku Muhriz menerusi warkah yang diserahkan bagi mendapatkan perkenan baginda.