Anggota polis maut kemalangan dikebumikan mengikut adat kepolisan

Iklan
Anggota polis mengusung jenazah Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif (gambar kecil) di pekarangan Forensik Hospital Tapah untuk dibawa ke Surau IPD Tapah untuk disolatkan. Foto Bernama

TUMPAT - Jenazah Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, anggota polis yang maut dalam kemalangan van Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) semalam, selamat dikebumikan dengan penghormatan mengikut adat kepolisan di Tanah Perkuburan Islam Sri Tujoh dekat Kampung Tujoh di sini, pada 2 pagi tadi.

Jenazah Muhammad Shahrul Alif diusung lapan anggota polis sebelum diberikan tabik hormat sebagai penghormatan terakhir oleh rakan setugas.

Iklan
Iklan

Terdahulu, kenderaan yang membawa jenazah tiba di Masjid Mukim Tujoh pada 12.45 tengah malam bagi membolehkan ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah disolatkan sekali lagi oleh kira-kira 100 jemaah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin menunaikan solat jenazah Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif di Surau IPD Tapah pada Selasa. Foto Bernama

Iklan

Hadir sama Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie bersama beberapa pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

Muhammad Shahrul Alif meninggalkan isteri, Nor Ilyanie Abd Aziz, 26, dan seorang anak lelaki Muhammad Akif Irsyad, berusia enam bulan.

Iklan

Isteri dan anak Allahyarham turut menyiramkan air mawar ke pusara sejurus selesai pengebumian.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim (dua, kanan) menyantuni balu Allahyarham, Nor Ilyanie Abd Aziz, 26 (dua, kiri), selepas menunaikan solat jenazah di Surau IPD Tapah. Foto Bernama

Muhammad Shahrul Alif, 26, yang bertugas di IPD Batu Gajah merupakan antara 11 anggota polis menaiki van berkenaan dalam perjalanan ke Melaka bagi mengambil semula kenderaan dipinjamkan untuk kegunaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dalam kejadian pada 11.35 pagi Selasa, van jenis Maxus itu dipercayai hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kiri pecah sebelum merempuh penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.

Kemalangan itu turut menyebabkan empat anggota polis cedera parah manakala enam lagi mengalami kecederaan ringan. - Bernama