DUNIA semakin pelik. Selama ini, apabila bercakap mengenai kes gangguan seksual, cabul atau perlakuan tidak senonoh, kita membayangkan wanita menjadi mangsa dan lelaki sebagai pelaku.
Namun, realitinya kini golongan sering dianggap maskulin dan mampu menjaga diri juga jadi mangsa.
Lebih membimbangkan apabila pelakunya terdiri daripada lelaki lain.
Mungkin ada menganggap perkara ini sukar dipercayai tetapi gangguan seksual tidak mengenal jantina.
Buktinya, beberapa kes dilaporkan sejak kebelakangan ini cukup untuk membuka mata masyarakat.
Antaranya, kes melibatkan seorang remaja lelaki yang juga anak seorang pegawai kanan polis mendakwa dicabul seorang 'Datuk' di bilik sauna sebuah gimnasium bulan lalu.
Dalam kes berasingan, polis menahan seorang guru tuisyen lelaki disyaki melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual terhadap lima pelajar lelaki di rumah suspek.
Dua kes ini mungkin berbeza dari segi latar belakang, namun kedua-duanya membawa mesej sama.
Lelaki juga boleh menjadi mangsa, malah pelakunya boleh terdiri daripada kaum sejenis sendiri.
Persoalannya, berapa ramai lelaki yang sebenarnya mengalami gangguan seksual tetapi memilih untuk berdiam diri?
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada Mei lalu mendedahkan lebih 1,000 aduan gangguan seksual membabitkan mangsa lelaki diterima melalui kaunter aduan kementerian sejak 2024.
Angka itu cukup besar untuk membuka mata masyarakat. Malah, Nancy turut memaklumkan trend peningkatan turut direkodkan dalam statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Secara keseluruhan, kes gangguan seksual direkodkan PDRM meningkat daripada 477 kes pada 2022 kepada 522 kes pada 2023, 788 kes pada 2024 dan 1,038 kes pada 2025.
Bagaimanapun, angka ini merangkumi keseluruhan mangsa dan bukan khusus kepada lelaki.
Dalam perkembangan berkaitan, Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) menerima empat kes melibatkan mangsa lelaki sepanjang 2026 setakat 30 Ogos lalu.
Daripada 134 aduan diterima tribunal sejak penubuhannya pada 8 Mac 2024 hingga 30 Ogos 2026, sebanyak 90 kes berjaya diselesaikan.
Angka ini sepatutnya membuka mata kita. Namun, persoalan lebih besar ialah berapa ramai lagi lelaki yang memilih untuk berdiam diri kerana malu, takut diejek atau bimbang tidak dipercayai?
Penulis yakin masih ramai lelaki malu untuk bercerita, takut dipersendakan atau bimbang masyarakat mempersoalkan 'kejantanan' mereka.
Kita mungkin terlalu biasa melihat lelaki sebagai pelindung sehingga terlupa mereka juga boleh berada dalam keadaan tidak berdaya.
Jangan jadikan pengalaman buruk mereka sebagai bahan jenaka.
Gangguan seksual bukan soal siapa lebih kuat atau lemah, sebaliknya soal hak seseorang terhadap tubuh sendiri.
Malah, lelaki juga perlu tahu mereka mempunyai saluran untuk mendapatkan bantuan dan pembelaan termasuk melalui TAGS serta Talian Kasih 15999.
Sudah tiba masanya kita berhenti melihat gangguan seksual sebagai isu wanita semata-mata.
Pendidikan mengenai batas sentuhan, keselamatan diri dan rasa hormat perlu diterapkan kepada semua tanpa mengira jantina.
Ini kerana akhirnya, lelaki juga manusia biasa. Mereka boleh takut, terluka dan menjadi mangsa.
Mereka juga berhak mendapat perlindungan, pembelaan dan ruang untuk bersuara tanpa dihukum oleh stigma masyarakat.
Lelaki juga manusia yang mempunyai maruah dan hak untuk mendapatkan pembelaan.
*Nurkhairini Jumari ialah Sub Editor Sinar Harian