KUALA LUMPUR – Memujuk dan menawarkan perkhidmatan seks dengan caj sekitar RM200 antara tindakan beberapa wanita warga asing termasuk dari benua Afrika yang dibongkar menerusi serbuan Ops Gegar di sekitar Changkat, Bukit Bintang, di sini pada Selasa.
Kegiatan tidak bermoral itu dipercayai menyasarkan pelancong dan pekerja warga asing yang berada di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, taktik wanita terbabit terbongkar apabila seramai 25 wanita warga asing termasuk 13 dari benua Afrika ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur itu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, operasi berkenaan merupakan kali ketiga dilaksanakan di lokasi sama sepanjang tahun ini bagi membanteras kegiatan tidak bermoral membabitkan warga asing.
Beliau berkata, wanita warga asing terbabit dipercayai memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebelum menyalahgunakan kemudahan itu untuk menjalankan aktiviti pelacuran secara sambilan.
"Siasatan awal dijalankan mendapati mereka ini bekerja secara bebas, mereka datang secara individu menggunakan PLS dan apabila tiba di Kuala Lumpur, mereka menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan mencari pelanggan di sekitar Bukit Bintang.
"Selepas mendapat pelanggan, mereka akan menyewa hotel berdekatan untuk menjalankan aktiviti seterusnya," katanya pada Selasa.
Katanya, JIM Kuala Lumpur sentiasa menjalankan pemantauan serta operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
"Bertindak atas aduan yang diterima, saya mengarahkan pasukan penguat kuasa menjalankan operasi serta-merta pada malam ini.
"Operasi kita dilaksanakan secara berterusan setiap hari, sama ada secara kecil-kecilan di premis perniagaan termasuk operasi bersepadu berskala besar," katanya.
Hamsha berkata, daripada keseluruhan 25 wanita yang ditahan, sembilan adalah warga Uganda, masing-masing seorang dari Kenya, Namibia, Nigeria dan Afrika Selatan, manakala enam warga Myanmar serta enam Kemboja.
"Kesemua mereka dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.