ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kota Siputeh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menarik perhatian Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah apabila membawa masuk pokok sorgum untuk diperkenalkan kepada semua ahli dewan.
Wakil rakyat yang sering lantang memperjuangkan nasib"pak tani” itu mencadangkan supaya Kedah menjadi peneraju projek tanaman sorgum yang disifatkan sebagai tanaman strategik berpontensi tinggi untuk menjadi alternatif dan pelengkap kepada tanaman padi di negeri ini.
"Sorgum bukanlah tanaman asing, malah pernah menjadi sumber makanan ruji generasi terdahulu. Usaha menghidupkan semula penanaman sekoi dan betari oleh anak Kota Siputeh kini mula menampakkan hasil," katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Kedah 2027 pada Persidangan DUN di sini hari ini.
Beliau berkata, isu padi telah lama membelenggu petani, justeru perlu ada agenda penanaman alternatif dan paling mudah pada masa ini adalah dengan mengusahakan tanaman sorgum.
Mohd Ashraf Mustaqim berkata, sorgum hanya ditanam sekali, tetapi boleh dituai hingga tiga kali dan ia kaya dengan protein dan serat yang boleh dijadikan sebagai makanan lebih sihat selain turut membantu menyihatkan tanah.
"Isu tanah juga menjadi cabaran kerana program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun menyebabkan tanah tidak sempat ‘berehat’, jadi tanaman sorgum ini hanya sekali tanam sahaja tetapi boleh mendapat hasil berulang,” katanya.
Beliau berkata, tanaman sorgum memerlukan 34 hingga 50 peratus kurang air berbanding padi dan tidak memerlukan kawasan sawah bertakung.
"Ia ditanam seperti rumput, sekali tanam boleh dituai berulang kali. Bijirinnya untuk makanan ternakan dan boleh dijadikan tepung, batangnya untuk foraj dan gula, hampasnya untuk biojisim," katanya.
Mohd Ashraf Mustaqim berkata, Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 menamakan Kedah dan Perlis untuk meneroka sorgum, tetapi tiada bantuan khusus, tiada sasaran dan laluan benih.
"Kedah wajar memimpin... kerajaan hanya perlu membuka jalan (bagi penanaman sorgum)," katanya sambil memaklumkan terdapat komuniti petani di Kota Siputeh sudah mula menanam, menuai dan mengolah sorgum menjadi makanan.- Bernama