Doktor hilang ketika lakukan luncur angin ditemukan meninggal dunia

Iklan
Kematian mangsa disahkan pegawai KKM yang tiba di lokasi kejadian.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin di perairan Tanjung Bungah, di sini ditemukan meninggal dunia pada Isnin.

Mangsa, Dr Khaw Chun Sein, 74 ditemukan terdampar di atas batu di pesisir pantai berhampiran Straits Quay Retail Marina pada jam 9.56 pagi.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Pengecaman dilakukan sebelum identiti mangsa disahkan oleh waris, seterusnya mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurut John, mangsa sebelum ini dilaporkan tidak dapat dikesan ketika melakukan aktiviti berkenaan di perairan berhampiran sebuah kelab renang pada Ahad.

"Bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 7.42 malam, Ahad.

Iklan

"Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal tiba di lokasi kejadian pada jam 7.45 malam, kira-kira tiga kilometer dari balai berkenaan," katanya.

Tambah beliau, Pos Kawalan Bomba (PKB) telah diaktifkan di kelab renang berkenaan bagi menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

"Operasi SAR hari kedua dikoordinasikan Maritim Malaysia dengan kekuatan logistik membabitkan sebuah bot agensi itu, dua bot JBPM, sebuah bot polis, sebuah bot APM dan dua bot PBS," ujarnya.

John menambah, operasi turut mendapat bantuan sebuah helikopter APMM, MAR 259, bagi melaksanakan pencarian dari udara.

"Keluasan kawasan pencarian pada hari kedua meliputi 94.76 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada lima sektor pencarian laut dan satu sektor pencarian udara di sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) pula menjalankan pencarian di permukaan air dalam radius kawasan seluas 1.36 batu nautika persegi," katanya.

Menurut beliau, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 pagi dan PKB turut ditutup.

"Operasi berkenaan melibatkan 11 anggota termasuk penyelia dari BBP Bagan Jermal dengan bantuan anggota BBP Butterworth (Pasukan Penyelamat Di Air).

"Turut terlibat ialah PBS Sungai Keluang dan Bukit Bendera dengan penggunaan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah lori," katanya.