SHAH ALAM - Keputusan Kerajaan Madani meluluskan pembaharuan pajakan tanah selama 99 tahun kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dengan premium hanya RM1,000 menimbulkan persoalan mengenai keadilan dasar pentadbiran tanah di Wilayah Persekutuan.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi berkata, keputusan itu perlu diperjelaskan berikutan premium tanah tersebut sebelum ini dianggarkan kira-kira RM4.67 juta.
ARTIKEL BERKAITAN: KLSCAH berstatus bangunan warisan, tiada nilai komersial - Hannah Yeoh
Beliau berkata, pihaknya tidak mempertikaikan kepentingan memelihara bangunan warisan atau hak mana-mana komuniti untuk mengekalkan institusi sejarah masing-masing.
Bagaimanapun beliau mempersoalkan, adakah dasar dan pertimbangan sama turut diberikan kepada institusi masyarakat Melayu seperti masjid, surau, sekolah agama dan badan kebajikan selain organisasi masyarakat lain yang berdepan isu pembaharuan pajakan tanah?
"Adakah terdapat garis panduan rasmi yang menjamin institusi warisan dan kebajikan daripada semua kaum boleh menikmati pertimbangan sama?" soalnya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada 14 November lalu, kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium tanah ditetapkan pada kadar nominal RM1,000 berbanding anggaran premium terdahulu kira-kira RM4.67 juta.
Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan meluluskan penyerahan dan pemberian milik semula tanah itu bagi kegunaan institusi pada 14 September lalu.
Surat kelulusan rasmi bertarikh 1 Oktober pula menetapkan premium tanah RM1,000, manakala jumlah keseluruhan perlu dibayar berdasarkan notis tanah rasmi sebanyak RM5,011 termasuk sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran, selain kadar sewa tanah tahunan ditetapkan sebanyak RM3,151.
Mengulas lanjut, Aliff Firdaus menegaskan, kerajaan perlu menjelaskan kriteria dan asas pertimbangan yang membolehkan premium tanah bernilai jutaan ringgit dikurangkan kepada RM1,000.
Menurutnya, kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap nasib kampung tradisional Melayu di Kuala Lumpur yang masih berdepan ketidakpastian berkaitan status tanah, pembangunan dan jaminan penempatan penduduk.
Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan sama ada pendekatan sama bersedia dilaksanakan terhadap institusi Melayu dan masyarakat lain yang mempunyai kepentingan sejarah serta sosial di ibu negara.
"Pemeliharaan warisan tidak seharusnya dilihat melalui kepentingan satu-satu komuniti sahaja, sebaliknya keadilan dalam pentadbiran tanah mesti dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang organisasi.
"Jika kerajaan mampu memberikan pertimbangan khas kepada sebuah institusi warisan sehingga premium tanah dikurangkan daripada jutaan ringgit kepada RM1,000, kerajaan juga perlu menunjukkan kesungguhan sama dalam menyelesaikan masalah tanah dan penempatan masyarakat Melayu yang sudah sekian lama menghuni Kuala Lumpur," ujar beliau.
Aliff Firdaus berkata, pihaknya bimbang keputusan itu boleh menimbulkan persepsi bahawa keistimewaan pentadbiran hanya dapat dinikmati pihak tertentu, sedangkan rakyat lain masih menunggu penyelesaian terhadap masalah tanah dihadapi mereka.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak usaha pemeliharaan warisan, sebaliknya mahu kerajaan memastikan prinsip keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dilaksanakan kepada semua rakyat.
"Kerajaan perlu membuktikan prinsip Malaysia Madani bukan sekadar slogan politik, tetapi benar-benar diterjemahkan melalui dasar yang adil kepada seluruh rakyat," tambah beliau.