Kebakaran hutan Indonesia musnahkan kawasan setara 80 peratus keluasan Pahang

Iklan
Operasi mengawal kebakaran hutan di wilayah terjejas berdepan pelbagai cabaran.

JAKARTA – Ribuan hektar tanah dalam kawasan konsesi kelapa sawit dan hutan tanaman kayu pulpa milik syarikat-syarikat besar yang tersenarai di bursa saham dilaporkan musnah dijilat api ketika Indonesia berdepan musim kebakaran terburuk dalam tempoh beberapa tahun.

Dapatan kajian yang dikeluarkan pada minggu lalu turut mendedahkan kaitan antara kejadian kebakaran dengan aktiviti penebangan hutan dan pembukaan kawasan tanah untuk tujuan perladangan.

Iklan
Iklan

Kejadian itu bukan hanya mencetuskan peningkatan kes penyakit pernafasan dalam kalangan penduduk malah turut menyebabkan jerebu rentas sempadan yang teruk di Malaysia dan Singapura. Pelepasan asap akibat kebakaran juga meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding purata bermusim.

Menurut kajian bersama Rainforest Action Network (RAN) dan platform pemantauan geografi, Nusantara Atlas, kira-kira 2.88 juta hektar kawasan musnah dari Januari hingga Oktober 2026. Ia bersamaan kira-kira 80 peratus daripada keluasan negeri Pahang.

Iklan

Nusantara Atlas memaklumkan keluasan kawasan yang terjejas akibat kebakaran dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 juga meningkat sebanyak 35 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 iaitu tahun terakhir Indonesia berdepan El Nino luar biasa kuat.

Seorang anggota tentera sujud syukur selepas hujan akhirnya membasahi kawasan Banjarbaru, Kalimantan Selatan selepas sekian lama berdepan cuaca panas dan kering.

Iklan

Walaupun analisis itu tidak mengenal pasti secara khusus punca tercetusnya kebakaran, kajian berkenaan menekankan risiko yang berpunca daripada kawasan tanah gambut dan kelemahan pengurusan kebakaran di kawasan konsesi pertanian yang berkembang pesat.

Kajian itu turut membangkitkan peranan institusi perbankan menyalurkan pembiayaan kepada aktiviti yang menyumbang kepada kemusnahan hutan.

“Persoalannya bukan siapa yang menyalakan api. Tetapi, siapa yang mengeringkan tanah gambut sehingga mewujudkan keadaan yang memungkinkan kebakaran berlaku,” kata Ketua Penyelidikan dan Penyiasatan RAN, Alex Helan.

Kajian itu turut meneliti beberapa insiden kebakaran di kawasan konsesi milik syarikat-syarikat besar termasuk kawasan yang diusahakan oleh kumpulan perniagaan yang kini sedang disiasat pihak berkuasa Singapura mengikut undang-undang berkaitan jerebu rentas sempadan.

Kumpulan penunjuk perasaan di Surabaya mengadakan protes membantah kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan selama beberapa bulan.

Aktiviti tidak terkawal manusia

Perubahan iklim akibat aktiviti tidak terkawal manusia dikenal pasti sebagai antara faktor yang memburukkan kebakaran hutan pada Ogos hingga Oktober susulan peningkatan suhu dan keadaan cuaca yang semakin kering.

Menurut laporan kumpulan penyelidik World Weather Attribution, fenomena super El Nino menyumbang kepada kekurangan taburan hujan sejak Julai lalu manakala perubahan iklim menyebabkan suhu meningkat sekitar 1.6 darjah Celsius sepanjang musim kebakaran.

Penyelidik cuaca ekstrem di Imperial College London, Theodore Keeping berkata, kebakaran hutan itu dipengaruhi pelbagai faktor, namun keadaan cuaca yang menyumbang kepada kejadian itu menunjukkan trend semakin membimbangkan.

Sementara itu, penyelidik kebakaran hutan di University of Melbourne, Pramudhian Firdaus memberitahu September 2026 merupakan bulan September kelima paling kering di Indonesia sejak 1991 dengan 84 peratus kawasan negara itu menerima taburan hujan di bawah paras normal.

Selain faktor cuaca, perubahan guna tanah sejak beberapa dekad lalu seperti penebangan hutan secara besar-besaran dan aktiviti pengeringan tanah gambut untuk pembangunan industri serta pertanian turut meningkatkan risiko kebakaran.

Jelasnya, perubahan landskap Indonesia sejak 30 tahun lalu khususnya akibat aktiviti pengeringan kawasan gambut dan penebangan hutan secara meluas menyebabkan kawasan tersebut semakin mudah terbakar. - Agensi