SAN FRANCISCO - Jensen Huang dilaporkan sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk kembali menerajui Nvidia, syarikat teknologi semikonduktor berpusat di Amerika Syarikat (AS) selepas meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada minggu lalu.
Menurut laporan Financial Times (FT) pada Ahad, Huang telah membincangkan kemungkinan untuk kembali memegang jawatan tersebut bersama beberapa individu yang rapat dengannya.
Seorang sekutunya memaklumkan bahawa beberapa tokoh industri teknologi di Silicon Valley termasuk bilionair kontroversi, Elon Musk sedang merancang mahu mendapatkan semula jawatan Huang sebagai ketua Nvidia termasuk mendapatkan sokongan daripada Rumah Putih.
Usaha tersebut turut melibatkan pembentukan kumpulan khas yang bertujuan melobi pihak berkepentingan agar menyokong kepulangan Huang ke syarikat pengeluar cip kecerdasan buatan (AI) terkemuka berkenaan.
Pengunduran Huang yang terpalit skandal dengan beberapa wanita termasuk Alice Huang yang disebut sebagai 'perisik China' pada Khamis lalu turut memberi kesan kepada prestasi saham Nvidia apabila nilainya merosot susulan ketidaktentuan kepimpinan syarikat tersebut.
Pendedahan hubungannya bersama Alice turut mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan eksport cip kecerdasan buatan (AI) canggih Nvidia ke Beijing.
Beberapa hari lalu, Lembaga Pengarah (BoD) Nvidia dilaporkan mendekati Ketua Pegawai Eksekutif Arm Holdings, Rene Haas bagi mempertimbangkannya sebagai calon pengganti Huang. Bagaimanapun, Nvidia belum memberikan sebarang maklum balas berhubung laporan tersebut.
Kontroversi melibatkan Huang mencetuskan krisis kepimpinan dalam syarikat berkenaan dan memberi kesan kepada industri teknologi global.
Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Nvidia, Colette Kress, kini dilantik sebagai CEO sementara bagi mengambil alih tugas Huang sementara lembaga pengarah (BoD) mencari calon pengganti tetap.
Bagaimanapun, kemungkinan Huang kembali menerajui syarikat itu masih belum dipastikan, memandangkan proses pencarian pengganti baharu masih berjalan. - Agensi