MONTREAL - Dokumentari Inside Gaza yang memaparkan pengalaman wartawan agensi berita antarabangsa selepas serangan 7 Oktober 2023 berjaya merangkul anugerah Filem Dokumentari Terbaik di Festival Filem Cinemania, Montreal pada Sabtu.
Filem berdurasi 72 minit arahan Helene Lam Trong itu mengikuti kehidupan harian empat wartawan AFP yang berdepan pelbagai cabaran ketika membuat liputan di wilayah tersebut.
Ia turut mengetengahkan rakaman yang dihasilkan oleh petugas AFP ketika berada di lapangan selain temu bual yang dijalankan selepas mereka meninggalkan Gaza.
Ketua biro AFP di Gaza, Adel Zaanoun yang merupakan salah seorang daripada empat wartawan terlibat dokumentari itu menerima anugerah berkenaan di Montreal.
Beliau mendedikasikan kemenangan tersebut kepada kesemua petuga media yang terkorban dalam konflik di Gaza dan mereka yang masih bertugas di lapangan walaupun berdepan kekurangan makanan, air, akses internet dan kemudahan asas lain.
Zaanoun turut menggesa masyarakat antarabangsa agar terus menyokong golongan wartawan bukan sahaja di Gaza malah di seluruh dunia demi mempertahankan kebebasan media.
Sebelum ini, dokumentari Inside Gaza turut memenangi beberapa anugerah antarabangsa dan kini layak dipertimbangkan untuk pencalonan Anugerah Akademi (Oscar). - AFP