Hasya Fahira bakal jalani pembedahan plastik akibat kecederaan terkena tar panas

Iklan
Onn Hafiz (dua dari kanan) bersama Mohd Fared (kiri) menziarahi Hasya Fariha di HSNI Batu Pahat pada Ahad.

BATU PAHAT – Hasya Fahira Zulkifli, 11, yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam nahas MPV dihempap lori muatan tar di Jalan Yong Peng-Muar dekat Parit Yaani, bakal menjalani pembedahan plastik bagi memulihkan kecederaan serius pada paha kirinya.

Exco Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Khalid berkata, pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sedang menyelaraskan kehadiran pakar dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk melaksanakan prosedur berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, langkah itu membolehkan rawatan diberikan di HSNI tanpa perlu memindahkan kanak-kanak tersebut ke hospital di Johor Bahru.

“Saya dimaklumkan oleh pihak HSNI bahawa adik Hasya Fahira mungkin perlu menjalani pembedahan plastik pada bahagian paha.

Iklan

“Akibat ditimpa tar panas ketika kemalangan, kecederaan yang dialami Hasya Fahira lebih serius berbanding adiknya, Muhammad Adam Mohd Hardi, 8.

“Sekiranya terdapat kos rawatan tambahan yang diperlukan, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) akan menanggung sepenuhnya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melawat dua beradik berkenaan di HSNI pada Ahad.

Dalam lawatan kira-kira 15 minit itu, Onn Hafiz turut meluangkan masa meraikan ulang tahun kelahiran Hasya Fahira yang disambut pada hari berkenaan.

Mohd Fared berkata, kerajaan negeri turut mengambil langkah bagi memastikan kebajikan kedua-dua beradik itu terus terpelihara, termasuk membantu menguruskan permohonan pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurutnya, permohonan tersebut dibuat berdasarkan rekod arwah bapa mereka yang pernah bekerja dan mencarum dengan agensi berkenaan.

Sementara menunggu proses itu selesai, MAIJ akan menyalurkan bantuan sara hidup bulanan kepada bapa saudara yang kini menjaga kedua-dua beradik tersebut.

“Kerajaan negeri bersedia menanggung sebarang keperluan yang diperlukan. Bantuan ini bukan sahaja untuk dua beradik berkenaan, malah untuk rakyat Johor lain yang memerlukan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 1 November lalu, ibu bapa mereka, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, dan Mohd Hardi Mohd Husin, 46, maut selepas MPV yang dinaiki bersama keluarga dihempap lori muatan tar yang terbabas akibat tayar pecah.

Hasya Fahira dan adiknya, Muhammad Adam, terselamat dalam nahas tersebut.