Keledek V8 saingi ubi Jepun, petani terima benih Januari depan - MARDI

Iklan
Sanimah (tiga dari kiri) bersama pegawai-pegawai terlibat menunjukkan keledek V8 yang dihasilkan semasa mengadakan lawatan ke MARDI Bachok pada Ahad. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

BACHOK - Varieti baharu ubi keledek V8 yang berpotensi menghasilkan lebih 26 tan metrik sehektar bakal diperluaskan kepada petani seluruh negara bermula Januari 2027, sekali gus membuka peluang mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap bekalan ubi keledek import termasuk dari Jepun.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Sanimah Simoh berkata, pihaknya kini dalam peringkat menyediakan benih bagi melaksanakan projek perintis penanaman varieti berkenaan sebelum diperluaskan kepada usahawan tani.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, projek perintis itu menyasarkan kawasan penanaman seluas 30 hektar di seluruh negara pada tahun depan.

"Apabila benih mencukupi, kita akan edarkan kepada usahawan dan petani untuk memulakan penanaman menerusi projek perintis yang diselaraskan MARDI Bachok.

Iklan

"Setakat ini kita sedang membuat persediaan anak benih dan penanaman dijangka bermula Januari tahun depan," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

MARDI berjaya menghasilkan varieti V8 yang mempunyai potensi pengeluaran melebihi 26 tan metrik sehektar dengan tempoh matang sekitar 90 hari selepas penanaman. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Iklan

Sebelum itu beliau mengadakan lawatan kerja ke Plot Varieti Baharu Ubi Keledek V8 di MARDI di sini.

Jelasnya, keledek V8 dibangunkan menerusi penyelidikan yang bermula pada 2021 menggunakan kaedah pembaikbakaan mutasi dengan teknologi aruhan sinaran gama.

Beliau memberitahu, penyelidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu melibatkan penilaian kira-kira 40 aksesi germplasma sebelum lima varieti elit iaitu VitAto, Pejabat, B1, Karak Bakar dan Tanjung Sepat dipilih sebagai bahan induk.

Katanya lagi, hasilnya MARDI berjaya menghasilkan varieti V8 yang mempunyai potensi pengeluaran melebihi 26 tan metrik sehektar dengan tempoh matang sekitar 90 hari selepas penanaman.

"Keistimewaan lain ialah kandungan beta-karotena sebanyak 2.138 miligram bagi setiap gram berat segar, menjadikannya berpotensi sebagai sumber provitamin A untuk penghasilan makanan berkhasiat termasuk makanan bayi.

"Dari segi fizikal, V8 mempunyai kulit berwarna oren kemerahan dan isi oren pekat dengan bentuk serta saiz ubi lebih seragam berbanding varieti terdahulu," katanya.

Malah menurut Dr Sanimah, setiap pokok berpotensi menghasilkan kira-kira satu kilogram ubi dengan bilangan ubi yang lebih banyak dan saiz lebih sekata.

Sanimah (tiga dari kanan) bersama pegawai-pegawai terlibat menunjukkan keledek V8 serta produk hiliran yang dihasilkan semasa mengadakan lawatan ke MARDI Bachok pada Ahad. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Beliau memberitahu, varieti itu turut mempunyai kelebihan dari segi ketahanan terhadap penyakit dan perosak utama selain berupaya menyesuaikan diri di beberapa kawasan agroekologi berbeza termasuk tanah bris dan tanah mineral.

Menurutnya, V8 juga mempunyai potensi pasaran premium dengan harga di ladang antara RM2.50 hingga RM4 sekilogram manakala harga di pasaran boleh mencecah RM6 hingga RM8 sekilogram.

"V8 mempunyai kualiti yang baik, selain teksturnya lebih lembut dan saiz yang seragam. Ini memberikan nilai tambah kepada petani kerana hasilnya boleh dipasarkan untuk kegunaan segar serta industri pemprosesan makanan.

"Kita juga sudah melihat potensi produk hiliran apabila usahawan bimbingan MARDI menghasilkan makanan ringan seperti muruku menggunakan varieti ini," katanya.

Beliau memberitahu, pembangunan V8 turut mengambil kira keperluan meningkatkan pengeluaran tempatan berikutan permintaan terhadap ubi keledek berisi oren yang kaya dengan beta-karotena semakin meluas.

Tambahnya lagi, Malaysia mempunyai kawasan penanaman ubi keledek sekitar 30,000 hingga 32,000 hektar di seluruh negara, manakala Kelantan menyumbang kira-kira 16,000 hektar.

Justeru ujar beliau, pengenalan varieti baharu itu diharap dapat meningkatkan keluasan tanaman dan produktiviti sekali gus membantu memperkukuh bekalan tempatan.