COP31: Membawa kepentingan rakyat ke meja rundingan iklim

Iklan
Penyertaan Malaysia dalam COP31 adalah bagi meneruskan komitmen negara di bawah Perjanjian Paris di samping memperjuangkan kepentingan negara-negara membangun. Gambar kecil: Azran Fitri

LEBIH dua bulan, Malaysia berdepan jerebu rentas sempadan yang turut menjejaskan negara jiran, termasuk Singapura.

Kesengsaraan ini sangat berkait rapat dengan aktiviti manusia yang tamak haloba, dan keadaan bertambah buruk disebabkan cuaca panas dan kering akibat El Niño.

Iklan
Iklan

Malah pemanasan global turut meningkatkan risiko keadaan cuaca yang memudahkan kebakaran merebak.

Belum jauh pengalaman berjerebu itu berlalu, negara kini berdepan musim tengkujuh pula.

Iklan

Monsun Timur Laut (MTL) mula melanda. Amaran hujan lebat berterusan. Ia mengingatkan rakyat supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir.

Pada masa yang sama, El Niño di Pasifik terus menguat dan dijangka memasuki fasa sangat kuat atau ‘Super El Niño’.

Iklan

MetMalaysia menjangkakan kesannya lebih ketara menjelang penghujung MTL antara Januari hingga Mac 2027, apabila hujan berkurangan terutama di utara Semenanjung dan Sabah.

Pada saat keluarga di kawasan rendah perlu bersedia menghadapi banjir, pesawah pula berdepan kebimbangan tentang bekalan air ketika cuaca lebih kering.

Risiko ini menjadikan kerjasama antarabangsa penting untuk melindungi penduduk, bekalan air dan hasil pertanian — antara kepentingan yang dibawa Malaysia ke Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31), di Antalya, Türkiye bermula 9 November lalu.

Suara Malaysia akan dibawa oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada 17 November ini.

Penyertaan Malaysia dalam COP31 adalah bagi meneruskan komitmen negara di bawah Perjanjian Paris di samping memperjuangkan kepentingan negara-negara membangun.

Menurut kenyataan media Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur akan menegaskan pendirian Malaysia yang mahu usaha menangani perubahan iklim dilaksanakan secara adil, dengan mengambil kira kemampuan negara dan keperluan rakyat.

Usaha mengurangkan pencemaran perlu berjalan seiring dengan pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan bekalan tenaga yang mampu dibayar.

Semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan rendah dan penduduk luar bandar, perlu mendapat manfaat serta tidak terbeban oleh perubahan ini.

Untuk itu, Malaysia menekankan keperluan dana yang mencukupi dan lebih mudah diperoleh bagi membiayai usaha menghadapi perubahan iklim.

Dana ini penting untuk memperkukuh perlindungan daripada banjir, menjamin bekalan air ketika kemarau serta memperluas penggunaan tenaga bersih.

Negara juga memerlukan akses kepada teknologi dan latihan supaya tenaga tempatan mampu melaksanakan usaha tersebut dengan berkesan.

Pada masa yang sama, Malaysia perlu terus mengurangkan pelepasan gas yang memanaskan bumi, antaranya melalui penggunaan tenaga yang lebih cekap, pengangkutan awam dan perlindungan hutan.

Namun, tanggungjawab dunia tidak boleh dibahagikan tanpa mengambil kira kemampuan serta sejarah pelepasan setiap negara. Negara maju perlu memimpin dan menyediakan sokongan kewangan serta teknologi supaya negara membangun dapat bertindak tanpa mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Di bawah Perjanjian Paris, negara maju mempunyai tanggungjawab menyediakan sumber kewangan bagi membantu negara membangun mengurangkan pelepasan dan menghadapi kesan perubahan iklim. Antara saluran pembiayaan antarabangsa yang tersedia ialah Green Climate Fund (GCF) dan Global Environment Facility (GEF).

Memperjuangkan pembiayaan ini bermaksud memastikan negara membangun mempunyai peluang mendapatkan sokongan yang diperlukan. Ia melibatkan persoalan jumlah dana, syarat kelayakan dan proses kelulusan supaya rancangan yang baik dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan.

Keperluan ini turut merangkumi keupayaan menyediakan cadangan projek, menilai risiko iklim dan mengukur hasil pelaksanaan. Latihan serta perkongsian kepakaran membantu agensi dan tenaga tempatan merancang penyelesaian mengikut keadaan setempat.

Dengan itu, kerjasama antarabangsa dapat membina kemampuan negara untuk mengurus cabaran iklim secara berterusan, termasuk selepas sesuatu projek selesai dilaksanakan.

Melalui penglibatan ini, Malaysia berhasrat memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN dan rakan global untuk meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan rendah karbon, teknologi hijau dan pelaburan mampan.

Malaysia melalui NRES dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) turut menyediakan Pavilion Malaysia bertemakan “Climate Action Now: Driving Resilient Growth”.

Sebanyak 49 program merangkumi tujuh kluster utama dirancang dengan penglibatan tujuh kementerian serta kerajaan negeri sebagai rakan strategik.

Pavilion ini mengetengahkan dasar dan inisiatif negara, di samping menyediakan ruang dialog, perkongsian kepakaran, mesyuarat dua hala dan penerokaan pelaburan.

Majlis penutupannya dijadual disempurnakan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pada 19 November 2026.

NRES berharap penglibatan Malaysia di COP31 dapat mempercepatkan penerapan komitmen iklim antarabangsa dalam dasar domestik, termasuk melalui kerangka Rang Undang-Undang Perubahan Iklim yang akan datang.

Rundingan teknikal dan kewangan turut penting bagi menyokong unjuran puncak pelepasan gas rumah kaca negara antara 2029 hingga 2034, seterusnya menuju ekonomi rendah karbon dan sasaran sifar bersih.

Puncak pelepasan bermaksud tahap tertinggi pelepasan sebelum jumlahnya mula menurun. Untuk mencapai penurunan itu, perubahan diperlukan dalam cara tenaga dijana, industri beroperasi dan pengangkutan digunakan. Pembiayaan, teknologi serta kemahiran menjadi sokongan penting supaya perubahan dapat dilaksanakan secara berperingkat.

Menjelang Kenyataan Negara pada 17 November, persoalannya ialah bagaimana kepentingan yang diperjuangkan Malaysia dapat diterjemahkan kepada manfaat di tanah air.

Rundingan ini penting untuk membuka akses kepada dana, teknologi dan kerjasama yang menyokong pelaksanaan dasar negara.

Bagi rakyat, nilainya akan terlihat pada bekalan air yang lebih terjamin ketika kemarau, sistem amaran banjir yang memberi keluarga lebih masa untuk berpindah serta bekalan tenaga bersih yang boleh diharap dan mampu dibayar.

Inilah ukuran yang menjadikan rundingan iklim antarabangsa dekat dengan kehidupan mereka.

*Azran Fitri Rahim ialah pengamal komunikasi strategik yang pernah bertugas sebagai wartawan, setiausaha akhbar menteri dan pegawai khas komunikasi strategik kepada Perdana Menteri Kesembilan.