KEMAJUAN teknologi maklumat sememangnya telah mengubah landskap kehidupan manusia.
Daripada urusan perbankan, perniagaan dan pendidikan sehinggalah kepada penyampaian perkhidmatan awam, teknologi telah meningkatkan kecekapan, menjimatkan masa serta mengurangkan kos transaksi.
Namun, di sebalik segala manfaat tersebut, timbul satu persoalan penting: adakah kita semakin maju atau sebenarnya semakin bergantung kepada teknologi sehingga kehilangan keupayaan untuk berfungsi tanpanya?
Insiden serangan siber yang menjejaskan rantaian bekalan makanan di Eropah serta gangguan perkhidmatan digital seperti Microsoft Outlook dan Teams memperlihatkan betapa rapuhnya sistem ekonomi moden apabila terlalu bergantung pada infrastruktur teknologi.
Apabila sistem digital tergendala, operasi perniagaan boleh terhenti, komunikasi rasmi terganggu dan aktiviti ekonomi menjadi perlahan.
Lebih membimbangkan, gangguan yang pada asalnya bersifat teknikal boleh berkembang menjadi risiko ekonomi dan keselamatan negara.
Fenomena ini menggambarkan satu paradoks kemajuan.
Teknologi yang dicipta untuk memudahkan kehidupan akhirnya berpotensi menjadi punca kelumpuhan apabila manusia kehilangan pilihan alternatif.
Dalam konteks ekonomi, kebergantungan sedemikian mewujudkan risiko sistemik.
Apabila pelbagai institusi menggunakan platform teknologi yang sama, kegagalan pada satu titik boleh menghasilkan kesan berantai terhadap keseluruhan ekosistem ekonomi.
Justeru, pendekatan pembangunan digital perlu berteraskan prinsip keseimbangan dan daya tahan, bukannya semata-mata mengejar kecekapan.
Sebagai contoh, penyimpanan rekod fizikal bagi dokumen penting tidak seharusnya dihapuskan sepenuhnya.
Begitu juga penggunaan wang tunai yang masih mempunyai peranan strategik, khususnya ketika sistem pembayaran elektronik mengalami gangguan.
Dalam sektor perniagaan, pelan kesinambungan operasi perlu mengambil kira kemungkinan kegagalan sistem digital.
Prosedur manual, saluran komunikasi alternatif dan latihan menghadapi gangguan teknologi wajar menjadi sebahagian daripada pengurusan risiko organisasi.
Bagi kerajaan pula, pelaksanaan dasar pendigitalan perlu memastikan rakyat tidak kehilangan akses kepada perkhidmatan asas hanya disebabkan kegagalan sistem, kekurangan kemahiran digital atau ketiadaan capaian internet.
Hal ini amat penting bagi golongan warga emas, masyarakat luar bandar dan isi rumah berpendapatan rendah yang mungkin menghadapi kekangan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
Pada masa yang sama, kita perlu membezakan antara keperluan strategik terhadap teknologi dengan obsesi untuk mendigitalkan setiap urusan.
Tidak semua proses manual melambangkan kemunduran. Sebaliknya, kewujudan sistem alternatif mencerminkan kebijaksanaan dalam mengurus ketidaktentuan dan mengurangkan risiko.
Sebagai contoh, keperluan untuk bersemuka dalam urusan pemasaran menunjukkan bahawa kehadiran fizikal masih boleh menjadi isyarat komitmen yang lebih tinggi dalam meyakinkan pelanggan.
Selain itu, rekod separa bertulis juga dapat membantu mengurangkan risiko kehilangan dokumen akibat kegagalan sistem atau serangan siber.
Prinsip ini selari dengan konsep daya tahan ekonomi, iaitu keupayaan sesebuah sistem untuk menyerap kejutan, menyesuaikan diri dan meneruskan fungsi asas ketika berhadapan dengan gangguan.
Oleh itu, pelaburan dalam teknologi perlu disertai pelaburan dalam keselamatan siber, kepelbagaian infrastruktur, pembangunan kemahiran manusia dan mekanisme sokongan luar talian.
Akhirnya, kemajuan sesebuah peradaban tidak seharusnya diukur berdasarkan sejauh mana manusia menyerahkan kehidupannya kepada teknologi.
Sebaliknya, kemajuan sebenar terletak pada keupayaan manusia menguasai teknologi tanpa kehilangan kebebasan, kebijaksanaan dan daya tahan apabila teknologi gagal berfungsi. Teknologi sepatutnya menjadi alat yang memperkukuh kehidupan, bukannya kebergantungan yang melemahkan peradaban.
*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad