PRN Melaka: Tersungkurnya dua gergasi PH di tangan Pas

Iklan
Rafie (kiri) dan Muhammad Ridzuan.

KEMENANGAN dua calon Pas, Rafie Ahmad di Paya Rumput dan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif di Bukit Katil, merupakan antara kejutan terbesar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Kejayaan kedua-duanya bukan sekadar membuktikan kemampuan Pas menewaskan calon berprofil tinggi, malah mendedahkan kelemahan serius kepimpinan Pakatan Harapan (PH), khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dua parti yang diterajui Melayu dalam gabungan berkenaan, PKR dan Amanah.

Iklan
Iklan

Kedua-duanya bukan menewaskan calon biasa, tetapi menumbangkan dua tokoh yang mempunyai kedudukan dan pengaruh besar dalam PH, iaitu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, serta Pengerusi PH Melaka merangkap bekas Ketua Menteri, Adly Zahari.

Di Paya Rumput, Rafie memperoleh 19,723 undi berbanding 12,538 undi Azman, sekali gus menang dengan majoriti 7,185 undi. Di Bukit Katil, Ridzuan meraih 15,305 undi, mengatasi 8,698 undi Adly dengan majoriti 6,607 undi.

Iklan

Kedua-dua kemenangan besar ini memberikan tamparan hebat kepada PH kerana yang tewas bukan sekadar calon biasa, tetapi dua individu yang menjadi lambang pengaruh dan kekuatan politik gabungan tersebut.

Lebih memalukan PH, kedua-dua pemenang Pas ini tidak mempunyai kedudukan setanding lawan mereka dalam hierarki pentadbiran kerajaan.

Iklan

Namun, Rafie dan Ridzuan berjaya menewaskan dua pemimpin yang mempunyai kelebihan dari segi pengaruh, pengalaman memegang jawatan, hubungan dengan pimpinan nasional serta publisiti politik.

Paya Rumput: Anwar turun berkali-kali, Setiausaha Politik sendiri tetap tersungkur

Paya Rumput merupakan medan pertarungan yang sepatutnya membuktikan kehebatan pengaruh Anwar dan PKR. Segala kelebihan politik yang dimiliki Azman telah ditonjolkan sepanjang kempen, termasuk hubungannya yang sangat rapat dengan Perdana Menteri.

Seawal 26 Oktober, Setiausaha Agung PKR merangkap Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, telah merasmikan Bilik Gerakan Utama PH Paya Rumput di Krubong.

Kehadiran pemimpin kanan PKR seperti Adam Adli Abd Halim dan Datuk Ginie Lim memperlihatkan betapa seriusnya parti tersebut memberikan perhatian kepada kawasan berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, Anwar sendiri turun berkempen pada 5 November dan sekali lagi pada 12 November, termasuk menghadiri program bersama penduduk dan peniaga kecil di Krubong Jaya.

Perdana Menteri bukan sekadar hadir sebagai pemimpin nasional, malah memberikan sokongan terbuka terhadap Azman dengan menonjolkan kelebihan calon yang mempunyai hubungan langsung dengan Pejabat Perdana Menteri.

Pada 8 November pula, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut turun berkempen dan menyatakan keyakinan terhadap pengalaman Azman dalam pentadbiran. Beliau menggesa jentera PKR memberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan calon berkenaan memperoleh kemenangan.

Maknanya, hampir seluruh kekuatan simbolik kepimpinan PKR dikerahkan untuk membantu Azman. Perdana Menteri turun sendiri, isterinya turut berkempen, Setiausaha Agung parti merasmikan jentera, sementara pemimpin-pemimpin kanan PKR memberikan sokongan terbuka.

Azman juga bukan sebarang pemimpin parti. Beliau ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak. Dari segi hubungan dengan pusat kekuasaan politik negara, sukar untuk mencari calon PH lain yang mempunyai kelebihan lebih besar daripadanya.

Sepanjang kempen, pengalaman Azman, kedudukannya dalam pentadbiran negara dan kemampuannya membawa pembangunan melalui hubungan dengan Putrajaya diberikan penekanan.

Publisiti terhadap pencalonannya juga meluas, menjadikan Paya Rumput antara kawasan yang menerima perhatian besar media dan kepimpinan nasional.

Namun, setelah segala kelebihan tersebut digerakkan, Azman tetap kalah dengan majoriti 7,185 undi.

Inilah hakikat yang sepatutnya benar-benar memalukan kepimpinan PKR. Apakah lagi kelebihan yang diperlukan untuk memenangkan seorang calon jika kedudukan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri, sokongan terbuka Anwar, kehadiran Wan Azizah dan gerak kerja pemimpin tertinggi parti pun gagal menghasilkan kemenangan?

Jika Anwar tidak mampu membantu memenangkan setiausaha politiknya sendiri walaupun telah turun berkempen beberapa kali, sudah tiba masanya beliau mempersoalkan keberkesanan pengaruh politiknya dalam kalangan pengundi Melaka, khususnya di kawasan majoriti Melayu.

Kekalahan Azman bukan sekadar kegagalan individu, tetapi kegagalan besar strategi politik yang mempertaruhkan hubungan rapat dengan Perdana Menteri sebagai salah satu kelebihan utama calon.

Apabila Anwar sendiri mengetengahkan hubungan langsung dengan Pejabat Perdana Menteri sebagai faktor yang boleh memudahkan pembangunan, keputusan pengundi memilih Rafie memperlihatkan bahawa kedudukan berkenaan tidak cukup kuat untuk mengatasi tarikan calon Pas dan kerjasama BN–PN.

Pada penilaian saya, kekalahan Azman ialah kekalahan politik yang turut terpalit secara langsung kepada Anwar. Beliau tidak boleh beranggapan bahawa tanggungjawab kekalahan itu hanya perlu dipikul oleh Azman dan jentera PKR Melaka, sedangkan beliau sendiri telah memberikan dukungan peribadi yang begitu menonjol kepada calon tersebut.

Lebih penting, keputusan ini menimbulkan persoalan yang jauh lebih besar, iaitu apakah yang sebenarnya telah berlaku kepada daya tarikan Anwar dan PKR dalam kalangan pengundi Melayu?

Apakah pengundi semakin tidak yakin dengan kemampuan kepimpinan PKR memahami keperluan mereka? Apakah janji pembaharuan, pembangunan dan kesejahteraan yang selama ini menjadi kekuatan retorik Anwar semakin kehilangan pengaruh? Atau adakah PKR terlalu lama bergantung kepada populariti pemimpin sehingga mengabaikan pembinaan kekuatan akar umbi yang sebenar?

Soalan-soalan ini tidak boleh dijawab dengan menyalahkan pihak lawan, menyebut kekuatan jentera BN–PN atau sekadar menjanjikan penambahbaikan selepas pilihan raya.

Sesuatu yang sangat serius sedang berlaku terhadap kedudukan Anwar dan PKR dalam persaingan politik Melayu. Jika Perdana Menteri sendiri gagal membantu memenangkan calon yang mempunyai hubungan paling rapat dengannya, apakah jaminannya bahawa calon-calon PKR yang lain mempunyai kekuatan lebih baik dalam pilihan raya akan datang?

Lebih buruk, kekalahan Azman bukan kes terpencil. PKR gagal memenangi satu pun daripada 10 kerusi yang ditandinginya di Melaka. Malah, dua calonnya di Ayer Limau dan Serkam kehilangan deposit apabila masing-masing sekadar memperoleh 1,363 dan 1,943 undi.

Ini bukan sekadar prestasi yang mengecewakan, tetapi kegagalan menyeluruh parti yang dipimpin sendiri oleh Perdana Menteri untuk mendapatkan walaupun seorang wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Melaka.

PKR tidak boleh terus berlindung di sebalik kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri untuk menggambarkan dirinya sebagai sebuah parti yang kukuh. Hakikat di peti undi menunjukkan gambaran yang sangat berbeza.

Parti yang menguasai jawatan Perdana Menteri akhirnya gagal menguasai walaupun satu kerusi DUN Melaka. Inilah percanggahan paling memalukan antara kedudukan politik di Putrajaya dengan kekuatan sebenar PKR di peringkat negeri.

Kemenangan dua calon Pas merupakan antara kejutan terbesar PRN Melaka pada Sabtu.

Bukit Katil: Keyakinan Amanah memakan diri

Jika kekalahan Azman merupakan tamparan terhadap pengaruh Anwar dan PKR, kekalahan Adly Zahari di Bukit Katil pula merupakan penghinaan politik yang tidak kurang besarnya terhadap kepimpinan Amanah dan PH Melaka.

Adly bukan pemimpin baharu. Beliau pernah menjadi Ketua Menteri Melaka, merupakan penyandang dua penggal DUN Bukit Katil serta memegang jawatan sebagai Pengerusi PH Melaka. Dengan pengalaman dan kedudukannya itu, beliau sepatutnya menjadi antara calon PH yang paling berupaya mempertahankan kerusi.

Namun begitu, segala kelebihan tersebut gagal menghalangnya daripada mengalami kekalahan besar kepada Ridzuan, calon Pas yang tidak mempunyai kedudukan setanding beliau dalam pentadbiran kerajaan.

Lebih menghairankan, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, begitu yakin dengan kemampuan partinya menjelang hari pengundian. Pada 3 November, Mohamad secara terbuka menyatakan keyakinan bahawa Amanah mampu memenangi kesemua tujuh kerusi yang ditandinginya di Melaka.

Kenyataan tersebut memberikan gambaran bahawa kepimpinan Amanah percaya partinya mempunyai kekuatan yang cukup besar untuk mencipta kejayaan.

Bagaimanapun, keputusan sebenar sangat memalukan. Daripada tujuh kerusi yang diyakini mampu dimenangi, Amanah akhirnya tidak memenangi satu pun. Daripada keyakinan memperoleh tujuh kemenangan, hasilnya kosong.

Perbezaan antara keyakinan Mohamad Sabu sebelum pilihan raya dengan keputusan sebenar menimbulkan persoalan serius terhadap ketepatan penilaian politik dan kekuatan jentera Amanah.

Adakah kepimpinan parti benar-benar memahami sentimen pengundi di Melaka ataupun terlalu yakin dengan penilaian sendiri sehingga gagal membaca perubahan sokongan yang berlaku di peringkat akar umbi?

Kekalahan Adly menjadi lebih memalukan apabila beliau mengakui selepas keputusan diumumkan bahawa beliau sebenarnya telah menjangkakan kekalahan sejak awal.

Menurutnya, kerjasama BN–PN menyebabkan beliau berada dalam keadaan ketinggalan sekitar 5,000 hingga 6,000 undi dan tempoh 14 hari berkempen tidak cukup untuk mengejar jurang tersebut.

Pengakuan itu menimbulkan persoalan yang tidak kurang pentingnya. Jika Adly sendiri sudah mengetahui bahawa beliau ketinggalan begitu jauh, mengapakah kepimpinan Amanah masih begitu yakin mampu memenangi tujuh kerusi?

Apakah keyakinan yang dilaungkan sepanjang kempen benar-benar berdasarkan kekuatan sokongan pengundi, atau sekadar retorik politik untuk membangkitkan semangat jentera?

Lebih penting, jika masalah tersebut sudah dikenal pasti lebih awal, mengapa langkah pembetulan yang diambil tidak mampu mengubah keadaan?

Adly tidak sepatutnya melepaskan diri daripada tanggungjawab politik hanya dengan menyatakan bahawa beliau sudah menjangkakan kekalahan. Sebagai Pengerusi PH Melaka, tugas beliau bukan sekadar mengetahui kelemahan parti, tetapi memastikan kelemahan tersebut ditangani sebelum keputusan pilihan raya diumumkan.

Kegagalan mempertahankan kerusi sendiri selepas dua penggal, ditambah pula dengan kegagalan PH memenangi lebih daripada empat kerusi, meletakkan kedudukan beliau sebagai Pengerusi PH Melaka dalam keadaan yang sukar dipertahankan.

Pada pandangan saya, Adly wajar meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PH Melaka dan memberikan laluan kepada kepimpinan baharu. Tanggungjawab politik tidak boleh hanya dituntut daripada lawan ketika mereka mengalami kekalahan, tetapi dilupakan apabila kegagalan melibatkan diri sendiri.

Adly juga perlu menjelaskan mengapa pengalaman beliau sebagai bekas Ketua Menteri, khidmat dua penggal sebagai ADUN dan sokongan terbuka kepimpinan Amanah gagal mempertahankan kepercayaan pengundi Bukit Katil.

Lebih-lebih lagi, kekalahannya berlaku kepada calon Pas yang baharu pertama kali memperoleh mandat sebagai ADUN. Hal ini menggambarkan bahawa kelebihan pengalaman dan jawatan tidak lagi mencukupi apabila pengundi mempunyai pilihan politik yang dianggap lebih meyakinkan.

PH tinggal DAP: PKR dan Amanah semakin kehilangan nilai elektoral

Keputusan PRN Melaka turut mendedahkan satu hakikat yang jauh lebih memalukan kepada PH secara keseluruhannya. Daripada 24 kerusi yang ditandingi gabungan tersebut, hanya empat kerusi berjaya dimenangi, iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Kesemua empat kerusi itu dimenangi oleh calon DAP. PKR memperoleh sifar kerusi. Amanah juga sifar kerusi. Ini bermakna keseluruhan perwakilan PH dalam Dewan Undangan Negeri Melaka kini bergantung sepenuhnya kepada DAP. Tanpa empat kemenangan tersebut, PH langsung tidak mempunyai wakil rakyat di negeri berkenaan.

Keadaan ini sepatutnya menjadi tamparan yang amat memalukan kepada PKR dan Amanah, dua parti yang selama ini mendakwa mempunyai pengaruh dan kemampuan tersendiri dalam mewakili kepentingan masyarakat Melayu serta memperkukuh sokongan pelbagai kaum terhadap PH.

Bagaimanakah PKR dan Amanah mahu terus menonjolkan diri sebagai tonggak penting PH jika kedua-duanya gagal menyumbangkan walaupun satu kerusi kepada gabungan tersebut?

Apakah nilai elektoral yang dapat ditawarkan PKR dan Amanah kepada PH di Melaka apabila semua kemenangan terpaksa disumbangkan oleh DAP?

Pada hemat saya, keputusan ini memperlihatkan bahawa PH di Melaka, malah di Malaysia juga, sudah semakin menyerupai gabungan yang bergantung kepada kekuatan DAP, sedangkan PKR dan Amanah menjadi komponen yang tidak mampu menyumbang sebarang kemenangan jika tidak bertenggek dengan DAP.

Lebih membimbangkan, PKR dan Amanah bukan parti kecil tanpa pemimpin berpengaruh. PKR dipimpin oleh Perdana Menteri sendiri manakala Amanah diterajui seorang menteri kanan yang pernah menjadi Timbalan Presiden Pas dan mempunyai pengalaman politik berdekad-dekad. Malangnya, kedua-duanya tidak mampu menghasilkan walaupun satu kemenangan.

Apakah ertinya mempunyai pemimpin yang memegang jawatan besar dalam kerajaan jika parti sendiri semakin gagal meyakinkan pengundi?

Apakah ertinya mempunyai rangkaian kepimpinan nasional yang luas jika sokongan kepada parti tidak dapat diterjemahkan kepada kemenangan di kawasan yang ditandingi? Ini merupakan persoalan yang perlu dijawab dengan serius oleh Anwar, Mohamad Sabu dan seluruh kepimpinan PH.

Kekalahan teruk PKR dan Amanah ini pula berlaku ketika BN dan PN berjaya membina kerjasama yang semakin mantap. Gabungan kedua-duanya memenangi 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka, dengan BN memperoleh 21 kerusi manakala PN tiga kerusi.

Pas sendiri memenangi kedua-dua kerusi yang ditandinginya melalui Rafie dan Ridzuan sementara satu lagi kerusi PN dimenangi calon Wawasan di Bemban.

Keputusan ini memperlihatkan bahawa kerjasama BN–PN berjaya menghasilkan kemenangan besar, sedangkan hubungan PH dengan rakan politiknya, termasuk Bersatu yang turut bertanding menggunakan lambang sendiri, gagal memberikan apa-apa kelebihan yang nyata.

PH perlu berhenti menganggap kekalahan ini sekadar masalah jentera, calon atau tempoh kempen yang singkat. Jika semua kelemahan tersebut terus digunakan sebagai alasan, sedangkan masalah penerimaan parti dan kepimpinan tidak ditangani, PH berisiko mengulangi kegagalan yang sama dalam pilihan raya akan datang.

Rafie dan Ridzuan buktikan pengundi tidak semestinya tunduk kepada nama besar

Di tengah-tengah kegagalan PH, kejayaan Rafie dan Ridzuan juga perlu dinilai berdasarkan kekuatan peribadi serta rekod khidmat kedua-dua calon Pas tersebut.

Saya mengenali mereka melalui pengalaman bekerja bersama dalam gerak kerja Pas dan kegiatan kemasyarakatan. Kedua-duanya mempunyai keperibadian yang sangat menyenangkan, rendah diri, penyabar, tenang serta tidak gemar menonjolkan diri.

Rafie mempunyai pengalaman profesional lebih tiga dekad dalam pengurusan teknikal, perniagaan dan korporat, selain kelayakan akademik pada peringkat sarjana. Penglibatannya mengurus Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu membuktikan bahawa beliau bukan asing dalam mengendalikan urusan kebajikan serta menyelesaikan permasalahan masyarakat.

Enam tawarannya untuk Paya Rumput merangkumi pembangunan usahawan kecil, latihan digital wanita, kemudahan rekreasi, TVET dan peluang pekerjaan belia, tuisyen percuma serta sistem aduan rakyat.

Ridzuan pula mempunyai pengalaman hampir dua dekad dalam bidang kesihatan persekitaran, penguatkuasaan dan perkhidmatan awam. Beliau turut aktif sebagai imam, pengerusi surau, pemimpin komuniti serta penggerak pelbagai kegiatan kebajikan masyarakat.

Kesanggupannya meninggalkan kerjaya tetap dalam perkhidmatan kerajaan bagi menceburkan diri dalam politik sepenuh masa mencerminkan komitmen besar terhadap perjuangan dan khidmat masyarakat.

Tawaran Ridzuan pula merangkumi kebajikan keluarga, pendidikan, kemahiran dan pekerjaan belia serta OKU, kebersihan, rekreasi, infrastruktur dan penyelesaian masalah kesesakan trafik.

Pada pemerhatian saya, kekuatan Rafie dan Ridzuan bukan terletak pada kemampuan mereka mengalahkan tokoh besar semata-mata, tetapi juga pada pengalaman, keperibadian dan hubungan yang telah lama dibina dengan masyarakat.

Dalam keadaan PH begitu menonjolkan kedudukan serta pengaruh calon, kedua-dua calon Pas ini menawarkan pendekatan yang lebih berasaskan khidmat masyarakat, pengalaman bekerja dan hubungan dengan penduduk.

Inilah ironi terbesar pilihan raya kali ini, iaitu dua calon Pas yang tidak mempunyai kedudukan tinggi dalam kerajaan berjaya menewaskan dua pemimpin PH yang begitu hampir dengan pusat kekuasaan politik negeri dan negara.

Kemenangan Pas turut dibina atas kekuatan muafakat dengan UMNO

Walaupun kemenangan Rafie dan Ridzuan wajar diberikan pengiktirafan, saya juga ingin menegaskan bahawa kejayaan tersebut tidak boleh dipisahkan daripada kerjasama erat Pas dengan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO.

Penyatuan kekuatan jentera dan sokongan politik BN–PN telah memberikan kelebihan besar kepada kedua-dua calon Pas. Tanpa kerjasama tersebut, tugas menewaskan Azman dan Adly pastinya akan jadi jauh lebih mencabar.

Begitu juga dengan kemenangan besar calon-calon UMNO di seluruh Melaka tidak boleh dilihat sebagai kejayaan UMNO secara bersendirian. Sokongan Pas dan PN turut membantu mengukuhkan kedudukan BN di kawasan yang sebelum ini menyaksikan persaingan antara kedua-dua parti.

Justeru, pemimpin UMNO tidak sepatutnya terlalu mendabik dada dengan kemenangan 21 kerusi sebagaimana Pas juga tidak boleh menganggap kejayaan Rafie dan Ridzuan sebagai hasil kekuatan parti semata-mata.

Kedua-duanya perlu menyedari bahawa kerjasama dan kesediaan berkompromi merupakan antara faktor terpenting yang menjadikan kemenangan besar ini mungkin dicapai.

Perbalahan tentang pembahagian kerusi, jawatan dan kedudukan kepimpinan selepas kemenangan hanya akan merugikan kedua-dua pihak.

Kegagalan PH tidak boleh disembunyikan di sebalik retorik

Keputusan PRN Melaka sepatutnya menjadi amaran paling keras kepada Anwar, PKR dan Amanah bahawa kedudukan besar dalam kerajaan tidak menjamin kekuatan politik di peringkat rakyat.

Anwar perlu menjawab mengapa setiausaha politiknya sendiri kalah dengan majoriti 7,185 undi walaupun beliau turun berkempen secara langsung. Mohamad Sabu pula perlu menjelaskan mengapa keyakinannya terhadap kemenangan tujuh kerusi Amanah berakhir dengan kegagalan menyeluruh.

Adly mesti memikul tanggungjawab terhadap kekalahan sendiri dan kemerosotan prestasi PH Melaka.

Lebih penting, PKR dan Amanah perlu bertanya kepada diri sendiri mengapa keseluruhan kemenangan PH di Melaka hanya disumbangkan oleh DAP.

Jika parti Perdana Menteri sendiri gagal memenangi walaupun satu kerusi, begitu juga dengan parti yang dipimpin Mohamad Sabu turut menerima nasib sama, maka masalah PH bukan lagi sekadar kelemahan strategi kempen.

Ia sudah menjadi krisis keyakinan terhadap keupayaan dua komponen utamanya untuk bersaing dan menang. Keputusan ini menjadi bukti kuat bahawa PH sedang menghadapi penolakan serius oleh orang Melayu.

Kemenangan Rafie dan Ridzuan telah membuktikan bahawa nama besar boleh ditumbangkan, jawatan tinggi boleh kehilangan pengaruh dan jentera kempen yang hebat tidak semestinya mampu mengatasi kekuatan hubungan akar umbi serta kerjasama politik yang tersusun.

Anwar, PKR dan Amanah boleh terus memberikan pelbagai penjelasan mengenai kekalahan mereka, tetapi satu hakikat tidak boleh dinafikan, iaitu ketika Pas berjaya menumbangkan dua tokoh besar PH, PKR dan Amanah pula gagal menghasilkan walaupun seorang ADUN di Melaka.

Bagi Rafie dan Ridzuan, gelaran giant killers merupakan pengiktirafan terhadap kejayaan mereka menewaskan dua nama besar PH.

Namun begitu, kemenangan tersebut juga membawa tanggungjawab yang lebih besar untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar mampu melaksanakan amanah serta memenuhi harapan rakyat.

Jika salah seorang atau kedua-dua ADUN Pas ini dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pula, maka tanggungjawab mereka akan melangkaui Paya Rumput dan Bukit Katil untuk turut memberikan khidmat kepada seluruh rakyat Melaka.

Ringkasnya, dua gergasi PH telah tersungkur, tetapi ujian sebenar dua wira Pas dalam membawa nama dan imej Pas kepada rakyat Melaka baru sahaja bermula.

*Hawa Yaakub ialah Ketua Penerangan Dewan Muslimat Pas Negeri Melaka.