Chan Chee How angkat sumpah sebagai ADUN Lantikan Terengganu

Iklan
Che How ketika mengangkat sumpah jawatan sebagai ADUN Lantikan di hadapan Yang Dipertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah selepas pelantikannya diumumkan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, pada Isnin.

​KUALA TERENGGANU - Ahli Jawatankuasa Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Terengganu, Chan Chee How mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan bagi mewakili masyarakat bukan Islam di negeri ini, pada Isnin.

​Beliau melafazkan sumpah jawatan itu di hadapan Yang Dipertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah selepas pelantikannya diumumkan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini.

Iklan
Iklan

​Terdahulu, usul pemilihan Chee How, 51 dikemukakan oleh ADUN Kijal, Datuk Razali Idris dan diluluskan dalam persidangan berkenaan.

​Pelantikan itu dibuat selaras dengan peruntukan Fasal XXVII (2) atau Perkara 27(2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) yang membolehkan pelantikan ahli bagi mewakili golongan berkenaan apabila mereka tidak mempunyai wakil yang dipilih dalam DUN.

Iklan

​Langkah tersebut memberi ruang kepada masyarakat bukan Islam di Terengganu untuk membawa pandangan, keperluan dan kepentingan mereka secara langsung dalam persidangan DUN, sekali gus memperkukuh hubungan antara masyarakat dengan kerajaan negeri.

​Chee How yang dilahirkan pada 27 Jun 1975 dan menetap di Cukai, Kemaman merupakan ahli perniagaan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Kepujian.

Iklan

​Beliau yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris, Mandarin serta dialek Hakka itu juga berpengalaman luas dalam pengurusan syarikat dan jualan, selain pernah berkhidmat sebagai Pengurus Perhubungan Awam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 10 dari tahun 2022 hingga 2025.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan perkara tersebut ketika berucap sempena kunjungan ke Bilik Gerakan PN DUN Ayer Keroh, Melaka minggu lalu.

Beliau berkata, ​langkah berkenaan dibuat selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu yang mempunyai peruntukan khusus bagi melantik mana-mana pihak, kaum mahupun jantina yang tidak mempunyai perwakilan di dalam dewan.