Bekas guru lari 90km demi padang hoki

Iklan
Ketiban ​Wan Mohd Kamarul Arifin (dua dari kiri) disambut meriah oleh murid SK Ajil.

HULU TERENGGANU – Seorang bekas guru berjaya menamatkan larian amal sejauh kira-kira 90 kilometer (km) dari Kemaman ke Ajil demi mengumpul dana bagi menaik taraf padang hoki Sekolah Kebangsaan (SK) Ajil di sini.

​Wan Mohd Kamarul Arifin Wan Mohd Salim, 40, memulakan larian solo selama empat hari itu bermula dari Dataran Chukai, Kemaman pada jam 8.30 pagi Ahad lalu dan selamat tiba di pekarangan SK Ajil pada jam 3.30 petang Rabu.

Iklan
Iklan

Beliau yang berasal dari Kampung Betong, Ajil berkata, misi digerakkan bagi mengumpul dana berjumlah RM50,000 supaya murid sekolah tersebut dapat menikmati kemudahan sukan lebih selesa.

​"Alhamdulillah, walaupun berdepan cabaran hujan lebat dan kekejangan otot kaki di sepanjang laluan, misi larian ini berjaya disempurnakan dengan sokongan padu sahabat baik yang membantu dari segi keselamatan serta logistik.

Iklan

​"Kerja-kerja menaik taraf padang hoki ini akan dimulakan secepat mungkin dan tempoh siapnya bergantung kepada jumlah kutipan dana semasa," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, sebanyak RM5,020 berjaya dikumpul setakat ini.

Iklan

Kesungguhan guru dan murid sekolah SK Ajil terlibat dalam sukan hoki membangkitkan semangat Wan Mohd Kamarul Ariffin untuk membuat larian amal bagi mengumpul dana untuk menaik taraf padang hoki berkenaan.

​Mengulas mengenai perancangan kutipan dana seterusnya, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Ajil itu merancang untuk memperluaskan hebahan menerusi stesen radio, akhbar utama dan syarikat korporat.

​"Selagi padang hoki ini belum siap sepenuhnya, saya sanggup lakukan apa sahaja.

"Jika kutipan dana masih perlahan, tahun depan saya merancang untuk melakukan 'kerja gila' lagi dengan berjalan kaki dari Kuala Lumpur ke Johor atau berbasikal," katanya berseloroh.

Menurut bekas guru Bahasa Arab dan Pendidikan Islam itu, usaha berkenaan diharap dapat membantu SK Ajil menjadi pusat mencungkil lebih ramai bakat baharu sukan hoki di sekitar daerah Hulu Terengganu.

Wan Mohd Kamarul Ariffin

"Saya mengambil keputusan berhenti berkhidmat sebagai pendidik pada tahun 2022. Tetapi, selepas melihat kesungguhan guru-guru melatih murid di sekolah berkenaan saya kembali bersemangat untuk membantu mereka," ujarnya.

​Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan bagi menjayakan dana pembangunan padang hoki sekolah tersebut boleh menyalurkan ke akaun Bank Rakyat PIBG SK Ajil (1101470548).