PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa masih relevan kepada pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun gagal memenangi sebarang kerusi yang dipertandingkan.
Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sokongan yang diterima calon Bersatu di beberapa kawasan termasuk Pantai Kundor, Lendu, Bemban dan Sungai Udang menunjukkan masih terdapat pengundi Melayu yang yakin dengan perjuangan parti itu.
Menurutnya, calon Bersatu di Pantai Kundor memperoleh lebih 6,000 undi atau 40.8 peratus, manakala di Lendu, Bemban dan Sungai Udang, parti itu turut menerima lebih 2,000 undi.
"Pengundi Melayu masih mengutamakan wakil rakyat dan kerajaan yang mampu menyelesaikan masalah rakyat berbanding terpengaruh dengan naratif politik berasaskan kaum dan agama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujar beliau, pengundi berkenaan sedar naratif Melayu-Islam yang dimainkan UMNO dan Pas tidak relevan dalam konteks politik Melaka kerana negeri itu diperintah UMNO dan BN sepanjang lima tahun lalu.
Katanya, naratif tersebut hanya digunakan sebagai alat untuk meraih sokongan dan kuasa politik, selain mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan kerajaan negeri dalam menangani isu serta masalah mereka.
"Mereka (pengundi) menolak pemimpin yang tidak berintegriti dan tidak berprinsip. Mereka menolak pemimpin yang rasuah, khianat, menipu, memfitnah, melanggar perlembagaan dan peraturan, menyalahgunakan kuasa, menindas serta menafikan hak pihak lain," jelas beliau.
Keputusan PRN Melaka Sabtu lalu menyaksikan BN mengekalkan penguasaan apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) menerusi parti gabungannya, DAP, memperoleh empat kerusi dan PN pula tiga kerusi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, seramai 493,573 pengundi atau 71.77 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya berkenaan.
Keputusan itu turut memberikan gabungan BN-PN penguasaan 24 kerusi, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri Melaka.
Bagaimanapun, Bersatu gagal memenangi mana-mana daripada tujuh kerusi yang ditandinginya iaitu Lendu, Sungai Udang, Pantai Kundor, Klebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh dan Bemban.
Parti itu hanya berjaya mengekalkan deposit di Pantai Kundor dengan 6,112 undi dan Lendu dengan 2,211 undi, manakala lima calon lain kehilangan deposit.
"Kenapa masih ada pemimpin dan ahli Bersatu yang kekal bersama parti? Kerana mereka masih yakin dengan perjuangan, kepimpinan, integriti dan prinsip Bersatu.
"Mereka tidak mengejar jawatan dan kepentingan peribadi. Mereka berbeza daripada golongan yang meninggalkan Bersatu kerana mengejar kedudukan, imbuhan dan kepentingan diri sehingga sanggup melanggar perlembagaan dan disiplin parti, mensabotaj dan mengkhianati parti.
"Mereka tidak seperti sejumlah wakil rakyat Bersatu yang menyokong parti Wawasan, yang sanggup melanggar baiah dan sumpah yang dilafazkan atas nama ALLAH SWT," jelasnya.
Mengulas kedudukan UMNO pula, Tun Faisal mendakwa parti itu masih relevan kepada sebahagian pengundi kerana mempunyai kedudukan dalam kerajaan, kuasa, dana serta akses kepada sumber kerajaan.
Beliau turut mendakwa Pas dan Wawasan di Melaka mendapat manfaat daripada kekuatan UMNO sebagai anggota kerajaan Persekutuan dan negeri, selain bergantung kepada logo Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan sokongan.
Mengulas hala tuju parti selepas PRN Melaka, Tun Faisal berkata, Bersatu perlu melakukan perubahan strategi atau game changer serta meneruskan usaha meyakinkan pengundi.
Katanya, meskipun tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan, kuasa dan dana seperti UMNO, Bersatu yakin integriti, prinsip serta kerja keras mampu membantu parti itu memulihkan sokongan rakyat.
"Jumlah pengundi yang bersama Bersatu mungkin tidak ramai sekarang, tetapi lambat-laun semakin ramai yang akan sedar juga akan permainan politik UMNO dan Pas," katanya.