PRN Melaka: PH tumpu olah resipi bentuk kerajaan pilihan raya akan datang

Iklan
Amirudin

KLANG - Pakatan Harapan (PH) perlu menumpukan usaha merangka penjajaran politik baharu sebagai resipi membentuk kerajaan pada pilihan raya akan datang, kata Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, analisis awal mendapati wujud petunjuk memberangsangkan dan gelombang positif, termasuk peningkatan pengundi Melayu terhadap PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun pencapaian semasa belum mencukupi untuk membentuk kerajaan tanpa kesepakatan yang lebih luas.

Iklan
Iklan

"Ya, saya telah lihat analisis awal. Ada beberapa pertambahan yang agak positif kepada PH khususnya peningkatan undi Melayu. Namun, belum cukup kerana ia bukan soal gabungan atau sokongan kepada gabungan, tetapi bagaimana penjajaran politik harus difikirkan untuk membentuk sebuah kerajaan.

"Peningkatan itu merupakan gelombang positif dan kita (PH) yakin masih ada masa untuk giatkan dan kembangkan lagi pada masa depan untuk kejayaan kita bersama," katanya selepas merasmikan Karnival Pendidikan Digital Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Peringkat Kebangsaan 2026, di Klang Parade Mall di sini pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, realiti politik negara masa kini membuktikan kejayaan pembentukan kerajaan tidak lagi bergantung kepada kerjasama antara parti semata-mata, sebaliknya menuntut kesepakatan antara gabungan politik.

Beliau berkata, sokongan terhadap gabungan itu kekal dan terdapat pertambahan di beberapa kawasan, termasuk peningkatan undi yang diraih Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, iaitu daripada 6,805 undi (2021) kepada 8,698 undi (2026) meskipun tewas.

Iklan

Pencapaian berkenaan dilihat selari dengan trend peningkatan sokongan pengundi Melayu yang pernah direkodkan pada pilihan raya di Negeri Sembilan sebelum ini.

"Mengenai peratusan keluar mengundi baru-baru ini, saya lihat ia lebih tinggi berbanding dengan PRN lepas, tetapi kurang sedikit berbanding PRU (Pilihan Raya Umum) lepas.

"Sebenarnya banyak lagi aspek yang kita kena lihat. Justeru, seluruh jentera parti perlu terus memperkemas gerak kerja akar umbi serta menilai semula strategi penyampaian bagi memastikan momentum sokongan semasa dapat diterjemahkan kepada kejayaan pada masa hadapan,” katanya.

Keputusan rasmi PRN Melaka ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala PH meraih empat kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi. - Bernama