Dr Aliza Che Amran: Daripada perjuangan kebajikan pensyarah ke pentas politik Bukit Katil

Iklan
Dr Aliza turun bertemu masyarakat di pasar pagi, pasar malam dan kawasan perumahan.

DI SEBALIK pencalonan Dr Aliza Che Amran, 46, mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026, tersimpan perjalanan seorang wanita berpendidikan tinggi yang meninggalkan kerjaya akademik selepas lebih dua dekad, berdepan pertikaian dengan pengurusan universiti dan akhirnya memilih politik sebagai medan baharu perjuangannya.

Kisah beliau bukan sekadar mengenai seorang pensyarah yang menjadi calon pilihan raya. Ia turut membabitkan asal-usul keluarga, keberanian memperjuangkan kepentingan rakan sekerja, sokongan suami dan pengorbanan kewangan bagi membiayai kempen politik.

Iklan
Iklan

Dr Aliza beramah mesra dengan penduduk ketika turun padang sempena kempen PRN Melaka.

Bermastautin di Melaka lebih 36 tahun

Iklan

Dilahirkan dalam keluarga ayah yang berasal dari Kelantan, dan ibu berasal dari Muar, Dr Aliza menghabiskan zaman kanak-kanak awalnya di Kuala Lumpur kemudian Kota Bharu, dan beliau pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Zainab 2 sebelum berpindah ke Melaka pada 1990 ketika berada dalam Darjah Empat.

Perpindahan tersebut berlaku susulan pertukaran bapanya, Che Amran, yang berkhidmat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Iklan

Sejak itu, Melaka menjadi tempat beliau membesar, mendapat pendidikan dan membina kerjaya. Beliau pernah bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang serta Sekolah Tinggi Perempuan Melaka, menjadikan hubungannya dengan kawasan Bukit Katil bermula jauh sebelum pembabitannya dalam politik.

Bapanya turut mempunyai latar kepimpinan dalam institusi pembangunan negeri. Menurut Dr Aliza, Che Amran Mohd Yusoff pernah memegang jawatan pengurusan di Yayasan Melaka dan terlibat dalam pembangunan pendidikan serta pelaburan, termasuk inisiatif berkaitan Kolej Yayasan Melaka dan Kolej Universiti Manipal. Ibunya, Azizah Osman, juga adalah seorang jurutera di JKR dan sudah pun bersara.

Pemegang kelayakan Kejuruteraan Kedoktoran bidang robotik yang meminati dunia pendidikan

Dr Aliza memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik daripada Universiti Teknologi PETRONAS pada 2003 sebelum melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang Kejuruteraan Sistem Elektrik dan Komputer di Monash University, Australia.

Beliau kemudiannya memperoleh Doktor Kejuruteraan dalam bidang robotik daripada Yokohama National University di Yokohama, Jepun.

Menariknya, beliau pernah menerima peluang bekerja sebagai eksekutif PETRONAS tetapi memilih kerjaya pengajaran kerana minat terhadap pendidikan berasaskan pendekatan praktikal.

Pilihan tersebut membawanya berkhidmat di institusi yang berkembang menjadi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dari 2003 hingga 2025.

Sepanjang tempoh itu, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik, Kualiti dan Risiko serta Timbalan Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembelajaran.

Beliau turut terlibat dalam pembangunan National Robotics Roadmap 2021–2030, selain melaksanakan program STEM bersama sekolah melalui pendekatan Service Learning atau SULAM iaitu satu inisiatif KPT.

Kebajikan pensyarah dan perjuangan aktivis persatuan staf akademik

Bagaimanapun, perjalanan kerjayanya berubah apabila berlaku pertikaian berhubung kaedah penilaian prestasi pensyarah di UTeM pada 2024 sehingga beliau memilih untuk meletakkan jawatan.

Menurut Dr Aliza, pekeliling yang dikeluarkan pada tahun berkenaan memperkenalkan keperluan penerbitan jurnal serta pemotongan markah bagi kegagalan memenuhi kriteria tertentu.

Beliau berpandangan perubahan tersebut membebankan pensyarah yang mempunyai tanggungjawab utama dalam pengajaran, khususnya apabila dilaksanakan dalam tahun penilaian yang sama.

Sebagai pemimpin persatuan akademik, beliau bersama rakan-rakan menggerakkan petisyen yang memperoleh 538 tandatangan daripada kira-kira 800 pensyarah.

Tindakan inilah yang membawa kepada permasalahan pada diri dan kerjayanya sehingga kes ini dibicarakan di mahkamah dan kini berada di peringkat Mahkamah Rayuan.

Dr Aliza bersama peniaga pasar pagi.

Sokongan suami ketika meninggalkan kerjaya

Ketika melalui episod sukar tersebut, suaminya menjadi antara individu yang memberikan sokongan penting.

Walaupun menjalankan perniagaan dengan pendapatan yang tidak semestinya konsisten, suaminya memberi kebebasan kepada Dr Aliza untuk meninggalkan pekerjaan sekiranya keputusan itu dapat membantu menjaga kesihatan dan kesejahteraan dirinya.

Dr Aliza akhirnya meninggalkan UTeM pada Disember 2025. Keputusan tersebut turut membuka ruang untuk beliau mempertimbangkan kerjaya lain, termasuk kemungkinan kembali sebagai pengajar di Monash University, sebelum peluang menyertai politik tiba tiba muncul.

Bagaimana Bersama membuka pintu baharu

Penyertaan Dr Aliza dalam Bersama bermula apabila parti tersebut mencari calon wanita bagi menghadapi PRN Melaka.

Beliau menjelaskan bahawa pada peringkat awal, terdapat kira-kira 30 individu lelaki yang berminat menjadi calon, tetapi parti masih mencari penyertaan wanita.

Dr Aliza kemudiannya mendaftar sebagai ahli, mengemukakan permohonan dalam talian, menghantar curriculum vitae (CV) dan merakam video menjawab 10 soalan.

Beliau seterusnya menjalani temu duga atas talian bersama Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan beberapa lagi termasuk Presiden Bersama, Syukri Razab.

Menurut Dr Aliza, Rafizi bertanyakan sebab beliau memilih Bersama walaupun mempunyai kelayakan akademik dan pengalaman profesional yang luas.

Beliau menjelaskan bahawa selepas meninggalkan universiti, beberapa peluang kerjaya lain yang diusahakan tidak menjadi kenyataan, sedangkan peluang bersama parti baharu itu muncul tanpa dirancang lebih awal.

Dr Aliza sendiri menyatakan hasrat untuk bertanding di Bukit Katil, kawasan yang mempunyai hubungan panjang dengan perjalanan hidupnya.

Beliau juga mengakui tertarik dengan pendekatan Rafizi yang menekankan hujah berasaskan fakta, data dan kesediaan menyatakan pendirian secara terbuka.

Dr Aliza mengakui bahawa kempen pilihan raya memerlukan perbelanjaan besar, terutama bagi calon parti baharu yang belum mempunyai jentera kukuh.

Cabaran mengumpul dana untuk berkempen

Penglibatan dalam politik turut membawa cabaran kewangan. Dr Aliza mengakui bahawa kempen pilihan raya memerlukan perbelanjaan besar, terutama bagi calon parti baharu yang belum mempunyai jentera kukuh.

Beliau menerima sokongan daripada ahli keluarga dan kenalan yang membantu kegiatan lapangan dan juga menjual lukisan untuk digunakan sebagai dana politik.

Kerja lapangan dan kesediaan memberikan tumpuan kepada politik

Sebelum penamaan calon lagi, Dr Aliza sudah turun bertemu masyarakat di pasar pagi, pasar malam dan kawasan perumahan.

Beliau mengakui pada mulanya berasa bimbang kerana belum dikenali ramai, tetapi semakin yakin selepas berinteraksi dengan penduduk.

Banyak pengalaman yang dialami Dr Aliza dan jentera, menunjukkan bahawa sebahagian besar pengundi telah mula secara matang menilai keperibadian dan latar belakang calon, dan bukan lambang parti.

Beliau kini perlu membahagikan masa untuk memberikan tumpuan masa kepada politik, kerjaya dan keluarga. Dan ini pastinya bukan perkara yang mudah.

Keberanian bersuara sebagai ukuran kepimpinan

Pertandingan empat penjuru di Bukit Katil menemukan Dr Aliza dengan penyandang PH, Adly Zahari; Muhammad Ridzuan Mohd Sharif daripada PN; dan calon Bebas, Abu Bakar Sabudin.

Dalam menilai calon-calon tersebut, pengalaman Dr Aliza memperjuangkan pandangan ratusan pensyarah, kepakaran akademik, hubungan panjang dengan Melaka dan pengorbanan keluarganya merupakan antara aspek yang boleh diberikan perhatian.

Dr Aliza beramah mesra dengan penduduk Bukit Katil.

Kisah beliau turut mengangkat persoalan tentang kedudukan golongan profesional dalam politik, khususnya mereka yang memiliki pengalaman mempertahankan kepentingan sesuatu kelompok ketika berdepan pertikaian institusi.

Lebih jauh lagi, beliau bukan setakat mempunyai keberanian bersuara malah memiliki kesediaan dan kemampuan untuk mendengar masalah penduduk, berunding dengan pelbagai pihak dan menghasilkan penyelesaian yang dapat dilaksanakan.

Bagi Dr Aliza, penyertaannya dalam politik bukan sekadar perubahan dan hijrah profesion, tetapi peluang membina kehidupan baharu selepas pengalaman sukar yang dilalui olehnya.

Ringkasnya, perjalanan Dr Aliza sebagai anak Kuala Lumpur yang membesar dan bersekolah rendah dan menengah di Melaka, menjadi pakar robotik, memperjuangkan suara pensyarah dan kemudian memasuki politik memperlihatkan hubungan antara pendidikan, prinsip peribadi, sokongan keluarga dan tanggungjawab awam.

Segala kisah ini memberi pengundi Bukit Katil satu pilihan yang cukup menarik untuk mempertimbangkan bentuk kepimpinan dan perwakilan yang mereka mahukan.

Khasnya kepada para pendokong sebenar reformasi, Dr Aliza dan rakan-rakannya yang lain dalam Bersama yang rata-ratanya berkelayakan tinggi jelas sekali merupakan pilihan yang jauh lebih baik daripada calon-calon lain yang ada sekarang.

Tambahan pula, seperti diketahui ramai malah turut diakui oleh beliau sendiri penyandang wakil rakyat dari PH ternyata tidak mampu untuk meluangkan masa turun padang bagi menyantuni dan menjaga kebajikan pengundi disebabkan kekangan masanya sebagai Ahli Parlimen Alor Gajah dan lain-lain komitmen luar.