Benih padi teknologi nuklear NMR152 mampu hasilkan sehingga 11 tan sehektar

Iklan
Dari kanan Dr Muhammad Rawi dan Zakaria menabur benih padi NMR152 di projek perintis Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA) LZNK di Kampung Alor Melintang di Alor Setar pada Ahad.

ALOR SETAR – Penggunaan benih padi baharu NMR152 yang dibangunkan berasaskan teknologi nuklear menjadi harapan baharu bagi membantu pesawah meningkatkan hasil tuaian sehingga 11 tan sehektar menerusi projek perintis Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA) kendalian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Pegawai Penyelidik Agensi Nuklear Malaysia, Dr Sobri Hussein berkata, varieti padi itu dihasilkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan teknologi pembiakbakaan mutasi berasaskan nuklear yang mempunyai potensi hasil tinggi, tahan terhadap perubahan cuaca serta memiliki ciri agronomi yang lebih baik.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, benih berkenaan mengambil masa 10 tahun untuk dibangunkan dan berpotensi membantu pesawah meningkatkan produktiviti tanaman, khususnya di kawasan yang berdepan masalah kemarau serta tanah yang kurang sesuai untuk penanaman padi.

“Bagaimanapun, hasil tuaian masih bergantung kepada kecekapan pengurusan sawah kerana dalam industri padi, pengeluaran hasil banyak ditentukan oleh cara pengurusan tanaman.

Iklan

“Varieti padi ini biasanya menyumbang kira-kira 50 peratus kepada peningkatan hasil, manakala 50 peratus lagi bergantung kepada kaedah pengurusan,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan benih padi NMR152 oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman di Kampung Alor Melintang.

Iklan

Menerusi projek perintis itu, sebanyak 2,000 kilogram atau 100 beg benih sah NMR152 diserahkan kepada LZNK bagi memperkasakan ekosistem pertanian padi berteraskan konsep pertanian wakaf.

Dr Sobri berkata, pesawah perlu memberi perhatian terhadap aspek pembajaan, kawalan penyakit serta kesesuaian tanah bagi memastikan varieti tersebut mampu menghasilkan produktiviti optimum.

“Hasil kajian mendapati varieti ini sesuai digunakan di kawasan yang sering berdepan masalah kemarau serta mempunyai tanah yang kurang sesuai untuk penanaman padi.

“Terdapat kawasan yang mempunyai tanah berbatu dan berpasir sehingga menyukarkan pesawah memperoleh hasil tinggi, namun penggunaan NMR152 menunjukkan potensi menghasilkan tuaian yang lebih baik.

“Padi daripada varieti NMR152 juga selamat digunakan serta dimakan oleh orang ramai,” katanya.

Peserta projek perintis Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA) LZNK menunjukkan benih padi NMR152 yang akan digunakan mereka di Kampung Alor Melintang di Alor Setar.

Sementara itu, wakil peserta SBBA, Iza Faizal Halim, 50, berkata penggunaan varieti baharu itu memberi harapan kepada kira-kira 10 peserta projek berkenaan untuk mengembalikan pencapaian hasil terbaik yang pernah direkodkan sebelum ini.

Menurutnya, peserta sebelum ini menggunakan varieti 297 yang menghasilkan sekitar enam hingga tujuh tan padi sehektar.

“Dengan varieti baharu ini, kami berharap dapat mencapai hasil melebihi 10 tan sehektar seperti yang pernah dicapai kira-kira dua tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Rawi berkata, kerjasama dengan LZNK diharap dapat membantu pesawah meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan menerusi penggunaan benih NMR152.

Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan menilai keberkesanan varieti padi berkenaan dalam meningkatkan produktiviti tanaman dan pengeluaran padi, sekali gus membuka peluang kepada peningkatan ekonomi pesawah.

Sementara itu, Zakaria berkata, LZNK sentiasa berusaha memilih benih padi terbaik pada setiap musim bagi memastikan peserta projek memperoleh hasil yang lebih tinggi.

“Sekiranya NMR152 berjaya memberikan hasil yang memberangsangkan, kami akan mendapatkan pandangan Agensi Nuklear Malaysia untuk mempertimbangkan peluasan penggunaannya ke semua projek di bawah LZNK,” katanya.