KLUANG – Tindakan seorang lelaki dipercayai berkhalwat dengan seorang wanita berstatus janda terbongkar apabila dia ditemui bersembunyi di dalam tandas ketika pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah rumah teres di sini, kira-kira jam 11 pagi, baru-baru ini.
Lelaki berusia lingkungan 30-an yang berstatus duda itu dipercayai berada bersama wanita berusia lingkungan 30-an yang juga berstatus janda sebelum kedua-duanya ditahan atas kesalahan berkhalwat.
JAINJ dalam kenyataannya memaklumkan, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan orang awam yang mendakwa terdapat seorang lelaki kerap mengunjungi rumah wanita terbabit.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan penguat kuasa dari Pejabat Kadi Kluang bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira jam 11 pagi selepas mengambil masa sekitar 20 minit perjalanan.
“Ketika tiba, penguat kuasa mendapati dua kenderaan dipercayai milik wanita dan lelaki terbabit berada berhampiran rumah berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut JAINJ, dua anggota turut ditugaskan mengawal bahagian belakang rumah bagi mengelakkan individu di dalamnya meloloskan diri.
Katanya, penguat kuasa kemudian mengetuk pintu utama beberapa kali dan memberi salam, namun tiada jawapan diterima.
Malah, anggota yang berkawal di bahagian belakang turut melihat pintu belakang rumah dibuka sedikit sebelum ditutup semula.
“Bagaimanapun, pemeriksaan di tingkat atas menemui bilik tidur dalam keadaan berselerak selain sehelai baju-T lelaki dan dompet mengandungi kad pengenalan milik seorang lelaki di atas meja,” menurut kenyataan itu.
JAINJ berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan seorang lelaki bersembunyi di dalam tandas yang berkunci dari dalam.
“Selepas beberapa kali pintu diketuk, lelaki terbabit akhirnya keluar dengan hanya memakai seluar pendek.
“Dia kemudian diminta memakai baju sebelum mengakui dompet yang ditemui itu adalah miliknya,” katanya.
Hasil soal siasat mendapati pasangan berkenaan bukan suami isteri, sebaliknya masing-masing berstatus duda dan janda.
Lelaki terbabit dipercayai menetap di Pontian, manakala wanita berkenaan tinggal di rumah itu dan bekerja di Kluang.
“Pasangan itu memaklumkan mempunyai hasrat untuk bernikah, namun belum menetapkan sebarang tarikh.
“Difahamkan, lelaki berkenaan juga bukan pertama kali datang ke rumah wanita itu berdasarkan maklumat pengadu,” menurut kenyataan itu.
JAINJ memaklumkan, kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.