JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim meluahkan rasa kecewa berhubung isu Datuk Seri Najib Razak menerusi sajak yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Menerusi sajak itu, Hassan yang juga seorang peguam mempersoalkan sama ada tindakannya menyuarakan bantahan terhadap perkara yang dianggapnya sebagai ketidakadilan boleh disifatkan sebagai derhaka.
Beliau turut menyentuh prinsip keadilan yang perlu ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau darjat seseorang, selain menyifatkan sikap berdiam diri terhadap ketidakadilan sebagai satu bentuk persubahatan.
“Ampun Tuanku, derhakakah patik menyanggah ketidakadilan di depan mata? Bersikap diam diri, ertinya rela bersubahat.
“Memejamkan mata, membisukan suara, sedang hati tak dapat menerima,” luahnya menerusi rangkap sajak berkenaan.
Dalam rangkap seterusnya, Hassan sekali lagi memohon ampun atas keberaniannya meluahkan rasa tidak puas hati melalui karya berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan mengelak sekiranya luahan tersebut mengundang tindakan terhadap dirinya.
“Maka silakan, patik tidak lari, patik tak rela negara ini jatuh ke longkang sehina begini,” katanya.
Sajak itu dipercayai merujuk keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Sebelum ini, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta, susulan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.