Sultan Kedah perkenan UUM bina Muzium Kedah Tua

Iklan
Sultan Sallehuddin bertitah pada Sesi Pertama Majlis Konvokesyen Ke-39 UUM di Dewan Mu'adzam Shah di Sintok pada Ahad.

SINTOK - Sultan Kedah, Al Aminum Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenankan Universiti Utara Malaysia (UUM) membina Muzium Kedah Tua yang memerlukan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memelihara dan mengangkat kegemilangan sejarah serta warisan tamadun negeri ini.

Baginda bertitah, muzium berkenaan berupaya menjadi medium penting untuk memperkenalkan sejarah Kedah Tua kepada generasi muda selain memperkukuhkan pemahaman masyarakat terhadap akar pembentukan tamadun di negeri ini.

Iklan
Iklan

Titah baginda, muzium itu akan memaparkan pelbagai aspek berkaitan Kedah Tua termasuk sistem pemerintahan, topografi, sinopsis sejarah serta perkembangan Tamadun Sungai Batu.

“Beta dimaklumkan, universiti memerlukan sebanyak RM15 juta untuk membina muzium, lengkap termasuk bangunan baru, ruang pameran awam, ruang pameran digital, makmal konservasi, stor artifak penyelidikan dan pengurusan.

Iklan

“Beta berharap kerajaan turut menjadikan projek ini sebagai produk pelancongan dan ada dermawan yang sudi menghulurkan dana untuk tujuan ini,” titah baginda pada Sesi Pertama Majlis Konvokesyen Ke-39 UUM di Dewan Mu'adzam Shah, di sini pada Ahad.

Turut berangkat ke majlis tersebut Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin merangkap Pro Canselor UUM.

Iklan

Dalam titahnya, Sultan Sallehuddin yang juga Canselor UUM menegaskan bahawa sejarah Kedah mempunyai akar yang jauh lebih tua berbanding institusi yang dibangunkan pada masa kini.

Titah baginda, Kedah pernah menjadi antara pusat ekonomi penting di Asia Tenggara hasil kegiatan perdagangan dan industri besi yang berkembang di negeri itu.

“Kegiatan peleburan besi di kawasan Sungai Batu dan Lembah Bujang bukan sahaja memenuhi keperluan tempatan, malah menarik kedatangan pedagang dari pelbagai wilayah.

“Keadaan itu sekali gus menjadikan Kedah sebagai pusat pertukaran barangan, kepercayaan, bahasa, pemikiran dan budaya pada zaman silam,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin berharap UUM akan terus memelihara serta mengangkat khazanah sejarah dan warisan Kedah sebagai satu amanah bernilai tinggi yang bukan sahaja mencerminkan identiti dan kegemilangan negeri, malah menjadi sumber ilmu serta inspirasi kepada generasi akan datang.

Dalam titah yang sama, baginda turut mengingatkan graduan bahawa ijazah yang diterima bukan sekadar tanda tamatnya satu perjalanan akademik, sebaliknya permulaan kepada amanah baharu untuk menyumbang kepada masyarakat, negeri dan negara.

Seramai 105 graduan menerima ijazah masing-masing dalam sesi berkenaan termasuk Ijazah Kehormat Doktor Falsafah, Ijazah Kehormat Sarjana, Profesor Emerita, Anugerah Pelajaran Diraja serta Anugerah Pingat Emas Canselor.