GEORGE TOWN – Tujuh premis perniagaan di sekitar Pulau Pinang dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk arahan penutupan, penyitaan peralatan dan rampasan papan iklan menerusi Ops Tegas.
Kesemua premis berkenaan dikenakan tindakan tersebut dalam operasi yang dijalankan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam tempoh dua hari bermula Jumaat.
MBPP berkata, tindakan penguatkuasaan itu melibatkan premis yang beroperasi tanpa lesen sah serta perniagaan yang didapati dikendalikan atau diuruskan warga asing.
"Dalam operasi pertama pada 13 November kira-kira jam 5.30 petang, seramai 18 anggota penguat kuasa daripada Jabatan Pelesenan menerusi Unit Tindakan Khas, Jabatan Penguatkuasaan serta Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP menjalankan pemeriksaan di tiga premis perniagaan.
"Pemeriksaan dilakukan di dua premis di kawasan Batu Feringghi dan sebuah lagi di Seri Tanjung Pinang, di sini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan MBPP yang sah bagi tahun 2026, selain mengesan penglibatan warga asing dalam aktiviti pengendalian dan pengurusan perniagaan.
"Susulan itu, Majlis mengarahkan penutupan serta melaksanakan penyitaan terhadap ketiga-tiga premis berkenaan termasuk papan iklan, sepanduk, rak makanan, peralatan perniagaan dan peralatan pemotongan yang digunakan dalam operasi premis.
"Majlis turut merampas barangan berkaitan serta melaksanakan pelupusan serta-merta terhadap barangan tertentu yang dikenal pasti ketika pemeriksaan," ujarnya lagi.
Dalam operasi berasingan pada Sabtu, MBPP mengambil tindakan terhadap empat lagi premis perniagaan menerusi dua operasi yang dijalankan pada sebelah pagi dan petang.
"Operasi pertama dijalankan kira-kira jam 9.30 pagi membabitkan sebuah premis di kawasan Jalan Datuk Keramat/Jalan Macalister yang sebelum ini dikendalikan warga asing.
"Walaupun aktiviti perniagaan di premis itu telah dihentikan sepenuhnya, pengusahanya masih gagal menurunkan papan iklan seperti yang diarahkan.
"Sehubungan itu, MBPP mengambil tindakan menurunkan dan merampas empat unit papan iklan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan," katanya.
MBPP menambah, dalam operasi kedua kira-kira jam 5.30 petang di Flat 88C, Jalan Paya Terubong, tiga premis makanan yang dikendalikan warga asing telah dikenakan tindakan penutupan dan penyitaan.
"Antara peralatan dan kelengkapan perniagaan yang disita termasuk meja, kerusi, sinki, kipas dinding, peralatan membungkus serta papan iklan.
"Tindakan rampasan barangan berkaitan dan pelupusan serta-merta terhadap barangan tertentu yang dikenal pasti ketika pemeriksaan turut dilaksanakan mengikut keperluan penguatkuasaan," jelasnya.
Kata MBPP, bagi memastikan arahan penutupan dipatuhi, MBPP memasang pita penghadang dan pengedap di semua premis yang diarahkan tutup bagi menghentikan serta-merta aktiviti perniagaan sehingga isu ketidakpatuhan diselesaikan sepenuhnya.
"Pengusaha dan pihak yang berada di premis terbabit turut diserahkan notifikasi pemberitahuan secara bertulis serta diarahkan supaya tidak membuka, mengusik atau merosakkan pita pengedap berkenaan.
"Mereka juga dilarang memasuki atau menceroboh premis bagi tujuan perniagaan serta meneruskan sebarang aktiviti perniagaan sama ada di dalam mahupun di luar premis," katanya.
Menurut MBPP, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta undang-undang kecil berkaitan yang memberikan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan terhadap aktiviti perniagaan yang melanggar peraturan dan syarat pelesenan.