ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan jumlah graduan tertinggi seramai 3,775 orang sempena Istiadat Konvokesyen Ke-21 yang berlangsung selama empat hari di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra bermula Sabtu.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata, jumlah berkenaan merupakan pencapaian tertinggi sepanjang 21 penganjuran istiadat konvokesyen universiti itu.
Menurutnya, istiadat berkenaan berlangsung dalam tujuh sidang di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, dengan penyertaan graduan daripada pelbagai peringkat pengajian.
“Jumlah graduan yang akan menerima ijazah diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah adalah seramai 3,775 orang semuanya, dan angka ini adalah merupakan yang tertinggi setakat ini dalam sejarah konvokesyen UniMAP daripada konvokesyen pertama sehinggalah konvokesyen ke-21,” katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Istiadat Konvokesyen Ke-21 UniMAP di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin di sini.
Istiadat konvokesyen berkenaan diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro Canselor Unimap, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Pro Canselor UniMAP, Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Daripada keseluruhan graduan, seramai 77 orang merupakan penerima ijazah doktor falsafah (PhD), terdiri daripada 53 graduan tempatan dan 24 graduan antarabangsa.
Zaliman berkata, pencapaian itu mencerminkan perkembangan UniMAP sebagai institusi pengajian tinggi yang terus memperkukuh kecemerlangan akademik serta melahirkan graduan dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan disiplin berkaitan.
Dalam pada itu, istiadat konvokesyen kali ini turut menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada tokoh industri semikonduktor, Datuk Seri Wong Siew Hai.
Siew Hai yang pernah berkhidmat selama 27 tahun bersama Intel kini merupakan Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).
Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan industri semikonduktor negara, pendidikan serta hubungan kerjasama antara universiti dengan industri.
Selain itu, seramai 53 pelajar turut menerima anugerah tajaan pengajian hasil sokongan hampir 40 rakan industri yang bekerjasama dengan UniMAP.