KOTA TINGGI – Tindakan licik sepasang kekasih menyembunyikan diri dalam lubang bawah tanah yang ditutup dengan jubin terbongkar apabila mereka dicekup berkhalwat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), baru-baru ini.
Pasangan berusia lingkungan 30-an itu dipercayai cuba mengelak dikesan penguat kuasa dengan menjadikan ruang tersembunyi berkenaan sebagai tempat persembunyian di dalam rumah terbabit.
Bagaimanapun, pemeriksaan teliti penguat kuasa membawa kepada penemuan lubang berkenaan selepas beberapa perabot, rak pinggan mangkuk dan karpet dialihkan.
Sebaik penutup jubin dibuka, penguat kuasa terkejut apabila menemui seorang lelaki sedang mencangkung di dalam lubang itu.
Menurut kenyataan JAINJ, rumah berkenaan pernah diperiksa kira-kira dua minggu sebelum itu susulan aduan sama, namun tiada lelaki ditemui ketika pemeriksaan dilakukan.
“Penguat kuasa melakukan pemeriksaan selama kira-kira 30 minit, termasuk menggeledah ruang dalam rumah, namun gagal menemui lelaki yang dimaksudkan pengadu,” menurut kenyataan itu.
Menurut JAINJ, penguat kuasa kemudian menghubungi pengadu yang memaklumkan melihat lelaki masuk ke rumah itu tetapi tidak melihatnya keluar.
“Penguat kuasa terpaksa meninggalkan rumah berkenaan tanpa sebarang tangkapan dan hanya menasihati wanita itu supaya tidak melakukan perkara tidak baik,” menurut kenyataan itu.
JAINJ berkata, selepas menerima aduan sekali lagi, penguat kuasa meminta pengadu memastikan maklumat diberikan tepat bagi membantu kelancaran pemeriksaan.
“Penguat kuasa tiba di rumah itu kira-kira jam 8.15 malam dan mendapati tiada motosikal atau kereta di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan turut dilakukan di bahagian belakang rumah bagi mengelakkan mana-mana individu melarikan diri,” menurut kenyataan itu.
Katanya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali, penguat kuasa terdengar bunyi seakan-akan kerusi dan meja dialihkan dari dalam rumah.
“Seminit kemudian, seorang wanita membuka pintu dan mendakwa hanya berada di rumah bersama dua anaknya yang berada di ruang tamu.
“Pemeriksaan dilakukan di semua bilik termasuk bawah katil, almari, celah pintu dan tandas, namun tiada sesiapa ditemui,” menurut kenyataan itu.
JAINJ berkata, penguat kuasa turut memeriksa bahagian siling tetapi mendapati agak mustahil seseorang bersembunyi di situ berikutan struktur kayunya kecil dan boleh melendut jika dipijak.
Bagaimanapun, penguat kuasa tidak berputus asa dan meneruskan pemeriksaan dengan mengalihkan kerusi, meja serta mengangkat karpet.
“Ketika memeriksa satu bahagian rumah, penguat kuasa mengalihkan rak pinggan mangkuk sebelum mengangkat karpet dan menemui satu lubang yang ditutup menggunakan penutup jubin.
“Apabila penutup itu dibuka dan disuluh menggunakan lampu suluh, kelihatan seorang lelaki sedang mencangkung di dalam lubang berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut JAINJ, lelaki dan wanita terbabit kemudian diarahkan keluar sebelum kedua-duanya didapati berada dalam keadaan ketakutan.
“Hasil soal siasat mendapati mereka bukan suami isteri dan hanya mengaku mempunyai hubungan sebagai pasangan kekasih,” menurut kenyataan itu.
JAINJ memaklumkan wanita terbabit berstatus janda manakala lelaki itu masih bujang dan kedua-duanya berusia lingkungan 30-an serta bekerja di Kota Tinggi.
“Lelaki itu tinggal bersama keluarganya kira-kira 15 kilometer dari rumah wanita berkenaan dan dipercayai datang menaiki motosikal sebelum meletakkannya jauh dari lokasi.
“Pasangan itu turut mendakwa mempunyai hasrat untuk berkahwin, namun belum bersedia berbuat demikian,” menurut kenyataan itu.
Pasangan terbabit ditahan bagi tindakan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor.