Dari sabut kelapa lahir karya seni

Iklan
Mohammad Haffis menunjukkan hasil seni bina kreatif berinspirasikan replika sarang burung tempua bersaiz besar yang diadun dengan landskap semula jadi.

KUALA SELANGOR – Bukan pekerjaan di pejabat menjadi sandaran hidupnya, sebaliknya kudrat tangan digunakan untuk mengubah bahan mentah menjadi pelbagai arca landskap yang menawan.

Bagi Mohammad Haffis Sanusi, 32, setiap hasil seni bukan sekadar hiasan mencantikkan halaman, tetapi sumber rezeki untuk menyara isteri dan anaknya.

Iklan
Iklan

Anak jati Tanjong Karang itu mula menceburi bidang seni arca landskap pada 2018 selepas melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk di kilang dan sebagai petugas pengemasan bilik hotel.

Minat terhadap seni landskap sejak berusia 20 tahun mendorongnya memberanikan diri meneroka bidang tersebut sehingga mampu menghasilkan pelbagai replika dengan kemahiran sendiri.

Iklan

Mohammad Haffis menunjukkan hasil kerja tangan yang diusahakannya sendiri menerusi replika motosikal unik serta ukiran berbentuk hati.

Bermula dengan replika cendawan batu, Mohammad Haffis kemudian mengembangkan hasil kreativitinya kepada pasu berbentuk angsa, burung bangau, sarang burung tempua, replika motosikal, meja batu simen dan pelbagai hiasan lain.

Iklan

Namun, di sebalik keindahan karya itu, proses pembuatannya menuntut ketelitian, kesabaran dan kekuatan fizikal.

Menurutnya, kebanyakan arca memerlukan sentuhan tangan untuk membentuk setiap perincian supaya menyerupai objek asal.

"Semua menggunakan tangan, malah ada kalanya tangan saya sampai pecah-pecah kerana kerja ini," katanya.

Walaupun mengalami masalah kulit, Mohammad Haffis tetap meneruskan pekerjaan tersebut sambil mendapatkan rawatan sewajarnya.

Katanya, kemahiran itu tidak diperoleh dengan mudah, sebaliknya diasah melalui percubaan sendiri dengan menjadikan karya seni landskap luar negara sebagai inspirasi.

"Antara hasil landskap memerlukan ketelitian tinggi ialah replika sarang burung tempua yang mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan.

"Replika ini dihasilkan menggunakan serat sabut kelapa dengan kerangka sebagai bahagian paling mencabar sebelum melalui proses pembentukan sehingga siap sepenuhnya," ujar bapa kepada seorang anak itu.

Pengalaman itu menjadi antara pencapaian paling bermakna sepanjang lapan tahun mengusahakan bidang yang diminatinya.

Bagaimanapun, perjalanan seninya tidak terlepas daripada cabaran apabila permintaan terhadap arca landskap mula merosot sejak tahun lalu selepas perniagaannya mencatat prestasi konsisten antara 2020 hingga 2024.

"Jika sebelum ini saya mempunyai enam pekerja, kini hanya tinggal dua yang masih bekerja," ujarnya.

Keunikan hiasan landskap bertemakan replika kincir angin pelbagai saiz dan warna yang menyerikan persekitaran laman.

Menurut Mohammad Haffis, persaingan harga dalam talian semakin mencabar apabila pelanggan cenderung membandingkan harga tanpa mengambil kira perbezaan bahan dan mutu pembuatan.

Keadaan itu memaksanya menyesuaikan harga jualan bagi memastikan produknya kekal mendapat tempat di pasaran meskipun kos bahan terus meningkat.

Ketika tempahan tidak menentu, dia turut mengambil upah kerja pembinaan, termasuk pemasangan paip, pendawaian elektrik dan tangki septik bagi menampung perbelanjaan keluarga.

"Walaupun berdepan keadaan mencabar, saya masih meneruskan penghasilan arca landskap yang menjadi punca rezeki selama ini," ujarnya.

Baginya, mempertahankan kemahiran tersebut bukan semata-mata untuk memastikan perniagaan terus beroperasi, tetapi juga demi kelangsungan hidup keluarga.

"Dalam keadaan rezeki tidak menentu, saya masih memilih untuk terus bertahan dalam bidang ini, selain mengharapkan setiap hasil tangan disiapkan mampu membawa pulang pendapatan buat keluarga," katanya.