KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor meningkat, manakala di Perak berkurang setakat jam 8 pagi pada Sabtu.
Di SELANGOR, jumlah mangsa di tujuh PPS di Kuala Selangor bertambah kepada 1,498 mangsa daripada 402 keluarga pada Sabtu, berbanding 1,373 mangsa daripada 369 keluarga pada Jumaat.
Iklan
Iklan
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang menempatkan 428 mangsa diikuti SK Dato' Maharaja Lela (393), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (311), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (123) dan Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (122).
SRA Batu 8 Ijok pula menjadi tempat berlindung bagi 71 mangsa, manakala Dewan Komuniti Penyayang Tanjung Siam menempatkan 50 mangsa.
Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa banjir di daerah Hilir Perak berkurang kepada 265 orang daripada 74 keluarga, berbanding 274 orang daripada 79 keluarga yang direkodkan pada Jumaat.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan terdapat 246 mangsa daripada 70 keluarga di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan 19 mangsa daripada empat keluarga di PPS Dewan MPTI Langkap.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan pada sebelah pagi di daerah Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Bagan Datuk, manakala ribut dan hujan dijangka berlaku pada sebelah petang dan malam di kesemua 12 daerah di Perak. - Bernama