SHAH ALAM – Seramai 7,245 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor bakal menikmati kenaikan elaun bulanan sebanyak RM200 kepada RM1,700 mulai Januari tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kenaikan itu membabitkan guru lantikan negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai usaha menjaga kebajikan serta kesejahteraan golongan pendidik agama berdepan peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, jumlah itu merangkumi 4,303 Guru Fardhu Ain Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) (GAF) dan 2,942 Guru KAFA JAKIM.
"Sehubungan itu, kerajaan negeri mencadangkan kenaikan elaun bulanan sebanyak RM200 menjadikan jumlah elaun meningkat daripada RM1,500 kepada RM1,700 mulai Januari 2027," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor pada Jumaat.
Amirudin memberitahu, kenaikan elaun itu membabitkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM14 juta yang akan ditanggung kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri turut merancang meningkatkan elaun guru KAFA lantikan negeri dan JAKIM kepada RM2,000 selaras dengan kadar gaji minimum Persekutuan baharu yang berkuat kuasa mulai Jun tahun depan.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri turut mencadangkan peruntukan RM1.425 juta bagi melaksanakan program peningkatan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di sekolah agama bawah pentadbiran JAIS.
Beliau berkata, program rintis itu dijangka memberi manfaat kepada 164,215 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) di seluruh negeri ini.
Menurutnya, bantuan kewangan itu akan digunakan bagi memperluas penyertaan murid dalam aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan, termasuk penganjuran pertandingan, latihan kepimpinan dan program pembangunan sahsiah.
"Inisiatif ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan pihak sekolah dan ibu bapa, malah membuka peluang penyertaan kokurikulum lebih inklusif dan saksama kepada murid tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
"Pelaksanaan program ini turut dijangka meningkatkan pencapaian PAJSK murid sekolah agama sekali gus memperkukuh peluang mereka melanjutkan pengajian ke sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), institusi pendidikan menengah terpilih serta institusi pengajian tinggi pada masa hadapan," tambah beliau.