Pekerja penyelenggaraan jalan maut terkena kabel telekomunikasi

Iklan
Mangsa disahkan maut di tempat kejadian selepas terkena kabel ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan.

GERIK – Seorang pekerja syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya maut selepas dipercayai terkena kabel telekomunikasi yang tertanggal akibat tersangkut pada muatan sebuah treler di Kilometer 71.4 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa berusia 41 tahun yang bekerja dengan Belati Wangsa (M) Sdn Bhd sedang menjalankan kerja-kerja penurapan semula jalan di lokasi berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kejadian dipercayai bermula apabila sebuah lori yang membawa muatan tar mengangkat badan muatan (dump body) untuk menurunkan tar di atas permukaan jalan.

“Selepas selesai menurunkan muatan, badan lori berkenaan tersangkut pada kabel Telekom Malaysia yang merentangi jalan ketika diturunkan semula ke kedudukan asal.

Iklan

“Keadaan itu menyebabkan kabel berkenaan tertarik, kendur dan berjuntai pada paras yang lebih rendah daripada ketinggian asal,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Abdul Samad berkata, sebelum kabel tersebut sempat dialihkan, sebuah treler jenis Hino yang membawa muatan mesin padi dari arah Gerik menuju ke Kuala Kangsar melalui lokasi kejadian dan tersangkut pada kabel berkenaan sehingga menyebabkannya tertarik lalu tertanggal daripada tiang.

Iklan

Menurutnya, kabel yang tertanggal itu dipercayai terkena mangsa yang sedang melakukan kerja penurapan jalan sebelum lelaki berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

“Motortreler terbabit turut ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi arahan keselamatan serta peka terhadap keadaan persekitaran, khususnya ketika melalui kawasan kerja penyelenggaraan jalan.