Lelaki maut ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan

Iklan
Keadaan lokasi seorang lelaki ditikam dalam kejadian di kawasan premis perniagaan Sulaman Sentral, Manggatal, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut selepas ditikam menggunakan pisau pemotong daging ketika cuba menghalang satu pergaduhan di kawasan premis perniagaan di Sulaman Sentral, Manggatal awal pagi Sabtu.

Mangsa berusia 31 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa oleh ahli keluarganya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS). Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.44 pagi.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada hospital mengenai kematian mangsa yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan.

"Siasatan awal mendapati suspek, seorang lelaki berusia 38 tahun, bertengkar dengan seorang peniaga makanan di luar sebuah kafe sebelum cuba menikamnya menggunakan pisau lipat.

Iklan

"Peniaga berkenaan sempat melarikan diri, namun dikejar oleh suspek. Pada masa sama, mangsa yang berada di sebuah pusat snuker berhampiran cuba menghalang suspek daripada terus mengejar peniaga tersebut.

"Bagaimanapun, suspek dipercayai mengambil sebilah pisau pemotong daging sebelum menikam mangsa ketika terserempak dengannya di tangga bersebelahan premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, mangsa sempat melarikan diri sebelum rebah di kawasan parkir berhampiran.

"Siasatan lanjut mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap peniaga makanan itu.

"Susulan kejadian tersebut, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan menemui beberapa barang kes serta sampel untuk dianalisis," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat.

"Pihak polis sedang giat mengesan dan memburu suspek, selain mengesan saksi-saksi lain yang berada di lokasi kejadian.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes.