PRN Melaka: Kemenangan BN-PN bukti keyakinan terhadap penyatuan ummah - Abdul Hadi

Iklan
Abdul Hadi

SHAH ALAM - Kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 membuktikan keyakinan rakyat terhadap usaha penyatuan ummah.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu turut membawa mesej mengenai harapan rakyat untuk melihat sebuah pentadbiran yang adil, berkebajikan serta memelihara keharmonian masyarakat majmuk.

Iklan
Iklan

“Pas menginsafi besarnya tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat. Keutamaan Pas adalah untuk mengisi kemenangan melalui agenda berkebajikan, berintegriti dan adil kepada semua,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Setakat jam 10.30 malam, keputusan tidak rasmi PRN Melaka menyaksikan kerjasama BN-PN menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.

Iklan

Daripada jumlah itu, BN memenangi 21 kerusi manakala PN memperoleh tiga kerusi, sementara Pakatan Harapan (PH) menguasai empat kerusi.

Pada PRN kali ini, BN bertanding di 23 kerusi DUN manakala PN meletakkan calon di lima kerusi, hasil kerjasama politik kedua-dua gabungan bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

Iklan

Abdul Hadi turut menzahirkan kesyukuran dan merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka atas mandat serta kepercayaan yang diberikan kepada kedua-dua gabungan politik itu.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada kepimpinan BN dan PN, calon, petugas serta jentera parti atas kesungguhan dan semangat kebersamaan sepanjang menghadapi pilihan raya berkenaan.

"Alhamdulillah, saya menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT serta merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka atas mandat dan kepercayaan yang diberikan kepada PN dan BN dalam PRN Melaka.

“Semoga ALLAH memberkati kemenangan ini, memandu setiap langkah kepimpinan yang diberikan amanah serta mengurniakan kekuatan untuk berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab,” ujarnya.