[TIDAK RASMI] BN-PN kuasai Melaka, Ab Rauf kekal calon Ketua Menteri

Iklan
Ahmad Zahid semasa di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Sabtu.

AYER KEROH - Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan keputusan tidak rasmi, BN memenangi 21 kerusi manakala PN memperoleh tiga kerusi.

Iklan
Iklan

“Dengan ini, insya-ALLAH, BN dan PN akan membentuk kerajaan negeri Melaka. Bagi pihak seluruh kepimpinan BN dan PN, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Melaka,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Sabtu.

Tambah Ahmad Zahid, keputusan tersebut mencerminkan keyakinan rakyat Melaka terhadap rekod pencapaian, kestabilan dan hala tuju pembangunan yang ditawarkan BN dan PN berbanding retorik politik yang dimainkan sepanjang tempoh kempen.

Iklan

Beliau turut menegaskan bahawa kemenangan itu juga bukan alasan untuk BN dan PN bermegah, sebaliknya diterima dengan penuh kesyukuran, rendah hati dan keinsafan.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa BN dan PN mencalonkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka.

Iklan

Jelasnya, ia susulan kejayaan gabungan itu memperoleh majoriti kukuh.

Menurutnya, watikah pencalonan berkenaan akan dikemukakan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam malam ini.

“Dengan ini, BN dan PN mencalonkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai calon Ketua Menteri Melaka.

“Watikah berkenaan akan saya utuskan malam ini kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka,” katanya.