Selangor tanggung kerugian RM52.9 juta akibat banjir 2025 - Amirudin

Iklan
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan laporan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. Foto Bernama

SHAH ALAM - Selangor merekodkan kerugian sebanyak RM52.9 juta akibat bencana banjir sepanjang tahun lalu, sekali gus menggambarkan kesan berterusan fenomena itu terhadap ekonomi dan kehidupan rakyat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, angka itu menunjukkan kerugian akibat banjir masih ditanggung negeri itu meskipun selepas bencana besar yang melanda pada hujung 2021 dan awal 2022.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bencana banjir ketika itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM3.1 bilion di Selangor membabitkan kerosakan kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan sektor pembuatan.

"Daerah Klang mencatatkan kerugian tertinggi iaitu sekitar RM1.2 bilion, diikuti Petaling (RM1.1 bilion) dan Hulu Langat (RM400 juta).

Iklan

"Kerugian membabitkan premis perniagaan mencecah RM396.4 juta, sementara sektor pembuatan pula mencatatkan kerugian sebanyak RM884.5 juta," katanya semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2027 di sini pada Jumaat.

Amirudin menjelaskan, kesan ekonomi akibat banjir bukan hanya melibatkan kerosakan fizikal, sebaliknya turut menyebabkan peniaga kehilangan jualan, pekerja kehilangan pendapatan dan kilang terpaksa menghentikan operasi akibat kerosakan mesin serta kelewatan penghantaran.

Iklan

Beliau memberitahu, keadaan itu membuktikan kepentingan pelaburan dalam projek mitigasi dan tebatan banjir bagi melindungi kediaman, premis perniagaan, laluan ke sekolah serta kelangsungan pekerjaan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri mengenal pasti 56 projek mitigasi dan tebatan banjir untuk dilaksanakan pada tahun depan bagi mempercepat usaha menangani masalah berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan laluan hijau bagi kelulusan projek terbabit selain memulakan reka bentuk lebih awal supaya keperluan tanah, utiliti dan kelulusan teknikal dapat dikenal pasti sebelum kontrak pembinaan ditawarkan.

"Kerajaan negeri juga akan menyediakan papan pemuka awam bagi membolehkan rakyat memantau lokasi projek, agensi pelaksana serta perkembangan pelaksanaan kerja tebatan banjir," tambah beliau.