KUALA LUMPUR - Institut Koperasi Malaysia (IKMa) melakar sejarah gilang-gemilang apabila menyambut Sambutan Jubli Platinum sempena ulang tahun penubuhannya yang ke- 70 tahun dari 1956 hingga 2026.
Sambutan bersejarah itu turut mencatatkan detik bermakna buat IKMa di peringkat antarabangsa apabila diberi pengiktirafan berprestij sebagai Cooperative Cultural Heritage (CCH) oleh International Cooperative Alliance (ICA).
Ketua Pengarah IKMa, Datuk Dr Mohd Ali Mansor berkata, pengiktirafan tersebut menyerlahkan peranan berterusan IKMa dalam usaha memartabatkan pendidikan dan modal insan koperasi.
Sepanjang 70 tahun penubuhan, kata beliau, IKMa membuktikan keberkesanan peranannya dalam konteks pembangunan modal insan dengan melatih 944,505 pemimpin, pengurus dan anggota koperasi menerusi 15,674 program latihan serta bimbingan di seluruh negara.
"Selain itu, pencapaian dari segi impak tahunan apabila konsisten melatih hampir 25,000 peserta setiap tahun menerusi purata 700 program.
"Bagi Program Bimbingan Bersasar (TEPAT), IKMa memperkasakan keupayaan 200 koperasi terpilih melalui enam bidang utama iaitu BESTARI (Pendigitalan); TUNAS (Asas Pengurusan); PACU (Keusahawanan); MEGA (Gandingan Aset); KAWAN (Kewangan) dan BIK (Tadbir Urus)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Menjulang Legasi 70 Tahun Jubli Platinum IKMa di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Onn Abu Bakar; Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah serta barisan Timbalan Ketua Setiausaha dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Majlis makan malam itu diraikan bersama perwakilan antarabangsa dari Thailand, Indonesia, Brunei, Australia, Filipina, India, Ghana, Jepun, dan Mauritius yang menghadiri program International Cooperative Roundtable (ICR) 2026 pada Khamis.
Sehingga akhir tahun 2025, ekosistem koperasi negara mencatatkan pencapaian kukuh apabila lebih 16,400 koperasi berdaftar dengan keahlian melebihi 7.33 juta orang.
Penjanaan perolehan perniagaan mencecah RM82 bilion manakala pemilikan aset bernilai RM186.7 bilion serta syer dan yuran anggota sebanyak RM18.6 bilion.
Majlis Menjulang Legasi 70 Tahun Jubli Platinum IKMa turut menyampaikan lima anugerah di mana Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad memperoleh Anugerah Inspirasi Koperasi manakala Koperasi Anugerah Haji Badji Semporna Berhad (Transformasi Digital Koperasi).
Anugerah Nadi Koperasi diberikan kepada Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad; Anugerah Koperasi Ikon (Koperasi Pelaburan Pekerja-pekerja Kejora Kota Tinggi Berhad dan Anugerah Khas Lestari (ESG) Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan Berhad.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berpandangan, IKMa memainkan peranan yang cukup besar dalam sosioekonomi negara.
Baginya, gerakan koperasi di negara ini menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara signifikan.
"Kita akan memartabatkan lagi pembangunan koperasi dengan keberadaan IKMa," ujar beliau.