KUALA LUMPUR - Cadangan memperluaskan skop 'Variation of Price' (VOP) bagi menangani peningkatan kos bahan binaan, bahan api dan tenaga antara yang diutarakan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) dalam memperkukuhkan industri pembinaan.
PKBM berkata, ia termasuk cadangan memastikan peruntukan RM7 bilion bagi projek kontraktor Gred G1 hingga G4 diagihkan secara telus melalui kaedah undian atau sebut harga dan mendapatkan penjelasan berhubung pengambilalihan pengurusan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Menurut PKBM, pihaknya turut mencadangkan permohonan penangguhan pelaksanaan keperluan pensijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) selama setahun yang dikaitkan dengan tarikh kuat kuasa 1 Januari 2027 berikutan anggaran kos pematuhan RM20,000 hingga RM30,000.
"Persatuan juga menggesa pembayaran kemajuan kerja bagi projek kerajaan dilaksanakan mengikut jadual kontrak selain memastikan pengagihan kerja oleh pemegang konsesi kepada kontraktor Gred G1 hingga G4 dibuat secara adil, telus dan berasaskan kelayakan melalui kaedah undian atau sebut harga, tanpa tertumpu kumpulan tertentu.
"Langkah tersebut penting bagi memastikan kelangsungan operasi kontraktor, khususnya kontraktor Bumiputera berskala kecil dan sederhana yang semakin terkesan dengan peningkatan kos serta cabaran mendapatkan peluang kerja berterusan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
PKBM dalam masa sama memaklumkan, pihaknya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau terhadap isu serta cabaran yang dihadapi penggiat industri pembinaan negara.
Jelas persatuan itu, kesediaan Perdana Menteri mengadakan sesi libat urus bersama wakil industri pembinaan sebelum Belanjawan 2027 serta pertemuan susulan pasca pembentangan bagi meneliti hasil perbincangan dan langkah penambahbaikan amat dihargai.
"Pendekatan ini memberikan ruang buat penggiat industri untuk menyuarakan pandangan secara langsung kepada pihak kerajaan, khususnya berkaitan peningkatan kos operasi, tekanan aliran tunai serta peluang penyertaan kontraktor Bumiputera dalam pelaksanaan projek pembangunan negara.
"PKBM berharap agar hasil sesi libat urus bersama Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan (MoF) dapat diterjemahkan kepada tindakan yang lebih menyeluruh dan berkesan demi memperkukuhkan daya saing serta kemampanan industri pembinaan negara," ujarnya.