HULU SELANGOR – Mayat ketujuh mangsa tragedi kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak di sini ditemukan pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mayat lelaki warga India yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan pada jam 3.40 petang di kawasan pencarian Sektor C.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan (PPP) Klinik Kesihatan Rasa pada jam 4.45 petang.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis pada jam 4.59 petang sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut," katanya.
Wan MD Razali berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan di Sektor C dan D bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih belum ditemukan.
Pada Khamis, media melaporkan mayat keenam mangsa tragedi kepala air di Sungai Luit, ditemukan di sekitar kawasan Empangan Sungai Selangor.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar dilaporkan berkata, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan kira-kira jam 10.15 pagi.
Isnin lepas, lapan lelaki dihanyutkan arus dengan seorang mangsa warga tempatan ditemukan pada 1.30 pagi Selasa di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.
Empat lagi mangsa warga asing ditemukan pada pagi hari sama di kawasan Jambatan Senget dan Jambatan Gantung, kira-kira 950 meter hingga satu kilometer dari Lata Jebus.
Lata Jebus dipercayai lokasi tujuh daripada lapan mangsa dihanyutkan arus, manakala seorang lagi mangsa dipercayai dihanyutkan dari kawasan berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak.