JAKARTA - Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Indonesia akan memilih Wakil Presiden (Wapres) baharu pada 2 Disember ini bagi mengisi kekosongan jawatan itu susulan peletakan jawatan Gibran Rakabuming Raka, menurut Speaker MPR, Ahmad Muzani pada Jumaat.
Menurutnya, MPR akan menghantar surat kepada Presiden Prabowo Subianto bagi meminta beliau mengemukakan dua nama calon.
"MPR turut menubuhkan pasukan khas yang terdiri daripada 36 anggota bagi menyemak kelayakan calon," ujarnya.
Bagaimanapun, nama calon yang bakal dipilih Prabowo masih belum diketahui meskipun beberapa media tempatan telah mula memaparkan senarai individu berpotensi daripada sejumlah barisan parti.
Peletakan jawatan Gibran, anak sulung kepada bekas Presiden Joko Widodo atau Jokowi berlaku selepas beliau berdepan tekanan politik selama kira-kira sebulan susulan keputusan Mahkamah Agung yang mempersoalkan kelayakan akademiknya untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.
Gibran, 39, menegaskan keputusannya meletakkan jawatan dibuat atas pertimbangan peribadi dan tiada kaitan dengan isu kelayakan pendidikannya.
Penyertaannya sebagai calon Wakil Presiden (cawapres) sebelum ini mencetuskan kritikan apabila Jokowi didakwa mempengaruhi keputusan mahkamah yang mengubah peraturan pilihan raya bagi membolehkan anaknya bertanding.
Penganalisis berpendapat pengunduran Gibran berpotensi meningkatkan ketegangan politik antara Prabowo dan Jokowi, sekali gus menjejaskan hubungan kedua-dua tokoh itu.
Jokowi pernah menewaskan Prabowo menerusi Pilpres pada 2014 dan 2019. Namun, ketika penggal kedua pemerintahannya, Jokowi melantik Prabowo sebagai Menteri Pertahanan sebelum menyokong pencalonannya pada Pilpres 2024.
Bagaimanapun, Gibran bersama bapanya menerusi kenyataan terbaharu menyatakan sokongan berterusan terhadap pentadbiran Prabowo.
Menerusi rakaman video yang disiarkan Kompas TV, Gibran turut menegaskan bahawa beliau tidak akan menyertai pembangkang walaupun tidak lagi berada di bawah tampuk pemerintahan Prabowo. - Agensi