Siapa pengganti Gibran?

Iklan
Gibran (tengah) dikerumuni kumpulan jemaah selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Himmatul Masaakiin, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan. - Foto Agensi

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan pimpinan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) bersetuju mempercepat proses pemilihan Wakil Presiden (Wapres) baharu bagi menggantikan Gibran Rakabuming Raka.

Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan, Yusril Ihza Mahendra berkata, pelantikan Naib Presiden baharu dijangka dapat dimuktamadkan sebelum akhir bulan depan.

Iklan
Iklan

“Hal ini bermakna proses itu akan dipercepatkan berbanding tempoh yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan Peraturan Tata Tertib MPR. Tempoh 60 hari itu merupakan had masa maksimum yang diperuntukkan,” katanya sambil menambah Presiden Prabowo Subianto bakal mengemukakan dua nama calon bagi mengisi jawatan Wapres kepada MPR dalam tempoh 14 hari.

Dalam perkembangan berkaitan, Parti Demokrat dan Parti Golkar mengesahkan tidak akan mengemukakan calon sendiri bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut sebaliknya menyerahkan sepenuhnya proses pencalonan kepada Prabowo.

Iklan

Ketua Umum Parti Demokrat, Agus Harimurti Yudhoyono memaklumkan pendirian itu selaras dengan Perkara 8(2) Perlembagaan 1945 yang menetapkan MPR memilih Cawapres daripada dua calon yang dikemukakan Presiden.

"Kami menghormati kuasa MPR dalam membuat pemilihan,” ujarnya.

Iklan

Sementara itu, Ketua blok Parti Golkar di MPR, Melchias Marcus Mekeng turut mengesahkan partinya tidak akan mencadangkan sebarang nama kerana kuasa mengemukakan dua calon berkenaan terletak di tangan Presiden.

Perkembangan itu menyaksikan identiti dua calon yang bakal diketengahkan Prabowo masih menjadi tanda tanya menjelang proses pemilihan Wapres baharu. Pemimpin itu bakal mengadakan pertemuan dengan pimpinan parti-parti gabungan bagi membincangkan calon pengganti Gibran.

Sementara itu, Gibran mengesahkan beliau akan terus menetap di Jakarta meskipun tidak lagi memegang jawatan berkenaan.

“Saya tidak akan kembali ke Solo. Tiada sesiapa di sana,” katanya merujuk kepada bandar yang pernah ditadbirnya ketika menjadi Wali Kota (Datuk Bandar) selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Himmatul Masaakiin, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.

Kehadiran beliau di masjid berkenaan turut mendapat sambutan mesra penduduk setempat di Kebayoran, sehari selepas beliau mengumumkan keputusan mengejut untuk melepaskan jawatan. - Agensi