DEHRADUN – Seorang penunggang motosikal nyaris maut selepas dipijak seekor gajah liar sebanyak dua kali di bahagian dada dan perut ketika melalui sebuah lebuh raya di Uttarakhand, India pada awal pagi Khamis.
Kejadian berlaku berhampiran Nepali Farm di Lebuh Raya Haridwar-Dehradun.
Penunggang motosikal itu sedang melalui jalan berkenaan sebelum terserempak dengan gajah liar yang tiba-tiba menghampirinya.
Kejadian itu dirakam oleh Shiva Sharma, seorang pemandu teksi dan pencipta kandungan digital yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Rakaman yang dikongsinya di Facebook menunjukkan lelaki itu terbaring di atas jalan ketika gajah berkenaan berjalan melintasi tubuhnya.
Beberapa orang awam turut menjerit untuk menghalau gajah berkenaan.
Haiwan itu kemudiannya melepasi penghadang keselamatan lebuh raya sebelum menghilang ke arah hutan.
Selepas gajah beredar, orang ramai segera membantu mangsa.
Sharma berkata, gajah sering muncul secara tiba-tiba di laluan Haridwar-Dehradun hingga membahayakan pengguna jalan raya.
Dia turut meluahkan rasa terkejut apabila melihat penunggang motosikal itu terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Lebuh raya tersebut terletak berhampiran Rizab Harimau Rajaji, kawasan habitat dilindungi bagi gajah dan pelbagai hidupan liar lain.
Kemunculan gajah berhampiran jalan raya di kawasan itu bukanlah perkara luar biasa khususnya di laluan yang bertindih dengan kawasan pergerakan haiwan tersebut.
Kawasan Lapangan Terbang Jolly Grant dan persekitarannya turut dikenal pasti sebagai zon sensitif bagi pergerakan gajah serta sebahagian daripada koridor gajah. - Agensi