ORANG lain yang memotong barisan, orang yang menegur pula kena pukul. Begitulah insiden di sebuah kedai serbaneka di Mutiara Subang apabila seorang pelanggan dipukul dan diugut selepas menegur lelaki yang mencelah di kaunter bayaran.
Dalam rakaman tular, lelaki itu siap buka baju sambil berlagak kaki pukul. Salah sendiri. Tetapi naik minyaknya bukan main. Macam orang lain pula berhutang dengannya.
Kejadian itu membuatkan Merak Jalanan terfikir. Kalau membeli barang runcit pun sudah begitu, bagaimana pula perebutan giliran yang melibatkan wang di belakang tabir?
Rupa-rupanya, pada zaman digital ini, tidak perlu menyelit di celah orang ramai untuk potong giliran. Tidak perlu bertengkar. Tidak perlu buka baju.
Cukup pandai bermain dengan sistem tempahan. Orang lain belum sempat mendapat giliran, slot sudah habis. Mahu cepat? Ada pula yang menawarkan jalan pintas.
Tahun lalu, Puspakom mendedahkan slot tempahan berharga RM3.50 dibolot orang tengah lalu dijual semula sehingga RM750. Bayangkan, berapa kali ganda untungnya! Tidak perlu bersusah payah membuka kedai.
Kita disuruh sabar menunggu giliran dan ikut peraturan. Tetapi kalau nombor giliran pun boleh dijadikan barang dagangan, yang sabar pun lama-lama boleh hilang sabar.
Dalam urusan imigresen, siasatan Malaysiakini mendakwa wujud nombor giliran khas dan bayaran orang tengah sehingga RM1,500 bagi pas berfi rasmi RM20. Dakwaan itu masih disiasat. Tetapi persoalannya cukup besar.
Giliran haji juga ada yang cuba jadikan bisnes. Tetapi Tabung Haji sudah mengingatkan, pakej mahal bukan tiket untuk cepat pergi ke Tanah Suci!
Nampaknya, zaman sekarang bukan siapa datang dulu dapat giliran. Siapa ada duit, dia boleh dulu. Yang lain, tunggulah sampai berjanggut.