WALAUPUN larangan merokok di restoran dan tempat makan sudah lama dikuatkuasakan, masih ada segelintir individu seolah-olah enggan menghormati peraturan. Apa yang lebih mengecewakan, mereka bukan tidak tahu, tetapi memilih untuk tidak peduli.
Merak Jalanan percaya ramai pernah berdepan situasi sama. Sedang menikmati sarapan atau makan malam bersama keluarga, tiba-tiba asap rokok dari meja berhampiran mula memenuhi ruang.
Selera yang terbuka terus tertutup. Lebih menyedihkan apabila ada kanak-kanak, ibu mengandung dan warga emas turut terpaksa menghidu asap itu.
Persoalannya, mengapa hak perokok sering dianggap lebih penting daripada hak orang lain untuk menikmati udara bersih?
Lebih pelik, ada yang sanggup berjalan jauh ke tandas, kaunter pembayaran atau surau restoran, tetapi tidak sanggup melangkah beberapa meter ke kawasan merokok yang disediakan. Akhirnya pelanggan lain pula menjadi mangsa sikap mementingkan diri.
Merak Jalanan juga perasan masih ada yang merokok secara berselindung. Apabila ternampak penguat kuasa, rokok segera disorokkan. Apabila keadaan kembali reda, asap kembali berkepul-kepul. Ini menunjukkan masalah sebenar bukan kekurangan peraturan, tetapi sikap dan kesedaran sivik.
Restoran ialah tempat orang menjamu selera, bukannya tempat berkongsi asap rokok. Jika seseorang mahu merokok, itu pilihan peribadi. Namun pilihan itu tidak sepatutnya menjejaskan keselesaan dan kesihatan orang lain.
Mungkin sudah tiba masanya rasa hormat kepada masyarakat dijadikan budaya, bukan sekadar takut kompaun. Jika masih degil walaupun pelbagai peringatan diberikan, Merak Jalanan tertanya-tanya sama ada masalahnya terletak pada rokok atau sikap.