BUENOS AIRES - Seorang bekas anggota kanan kumpulan radikal Itali, Briged Merah berusia 74 tahun meloloskan diri daripada tahanan di rumah di Argentina, menurut Kementerian Keselamatan pada Rabu.
Menurut laporan media, Leonardo Bertulazzi dipercayai menggunakan tali keselamatan untuk menuruni balkoni kediamannya di tingkat lima.
Kehilangannya disedari selepas alat pemantau elektronik yang dipasang pada buku lalinya berhenti menghantar data pergerakan.
Pemeriksaan di kediamannya kemudian menemukan alat itu yang telah ditanggalkan.
Pada 2024, Bertulazzi dikenakan tahanan di rumah di Buenos Aires sementara menunggu proses ekstradisi ke Rom bagi menjalani hukuman penjara selama 27 tahun.
Dia dijatuhi hukuman itu pada 1987 atas kesalahan menyertai pertubuhan subversif dan menjadi anggota kumpulan bersenjata.
Selepas bertahun-tahun melarikan diri, Bertulazzi pertama kali ditahan pihak berkuasa Argentina pada 2002 sebelum dibebaskan beberapa bulan kemudian.
Dia diberikan status pelarian pada 2004, namun ditahan semula pada 2024 selepas status tersebut ditarik balik.
Kementerian Keselamatan di Buenos Aires turut menawarkan ganjaran AS$13,000 (RM53,023) kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penahanan semula Bertulazzi.
Bertulazzi pernah memegang jawatan kanan dalam Briged Merah, sebuah pertubuhan aliran Marxisme yang bertanggungjawab melancarkan beberapa serangan antara 1969 hingga 1980 yang disebut sebagai 'tahun berdarah' di Itali. Kumpulan itu mula mendapat perhatian selepas menculik dan membunuh bekas Perdana Menteri Itali, Aldo Moro pada 1978.
Pada Julai 2025, Argentina meluluskan ekstradisi Bertulazzi ke Itali selepas Mahkamah Agung negara itu menolak rayuan terakhirnya. - AFP